SELANGOR: Pasukan sepak takraw wanita Sarawak gagal mara ke final acara berpasukan selepas tewas 0-2 kepada Sabah pada aksi separuh akhir di Arena MBSJ Puchong, sebentar tadi.
Kekalahan itu menyaksikan skuad kendalian Fathan Akhbar perlu bangkit untuk memburu pingat gangsa pada aksi penentuan esok.
Dalam pertemuan dua pasukan dari Borneo itu, kedua-dua regu Sarawak gagal menandingi kekuatan Sabah.
Regu A Sarawak yang dibarisi Nurhaziyatul Qaseh (Tekong), Victoria Dibah (Apit Kiri) dan Jeremiah Josiah (Apit Kanan) tewas 4-15, 15-17.
Regu B yang menampilkan Helvy Natalia (Tekong), Vyalitsana Lada (Apit Kiri) dan Anisclen Sophilia Siam (Apit Kanan) turut tewas 6-15, 2-15.
“Kita akur dengan kekalahan sebentar tadi. Pemain telah berusaha sedaya upaya, cuma segalanya tidak memihak kepada Sarawak,” kata Fathan kepada Arena Suara Sarawak.
Bagaimanapun, beliau berharap kekalahan itu tidak melemahkan semangat pemain untuk bangkit dalam aksi penentuan pingat gangsa esok.


