Takut positif, hilang pekerjaan

SIBU: Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu (JPBBS) Dr Annuar Rapaee meminta orang ramai di sini agar tidak takut untuk menjalani ujian saringan calitan.

Ini susulan pengesanan kes secara aktif (ACD) yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Zon Bahagia Jaya, Zon Jeriah dan Zon Permai pada minggu lalu yang kurang mendapat sambutan.

Respons yang kurang baik daripada orang awam di Sibu terhadap usaha pengesanan Covid-19 melalui ACD oleh KKM ialah kerana takut atau bimbang mereka akan positif dan seterusnya mengakibatkan kehilangan pekerjaan dan pendapatan, jelas Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan itu lagi.

Ketika bercakap pada strim langsung kemas kini kes harian Covid-19 Sibu menerusi laman sosialnya pada Sabtu, beliau berkata, persepsi sedemikian adalah kurang bijak dan mungkin boleh menyebabkan usaha KKM untuk memerangi Covid-19 menjadi semakin rumit lagi.

“Sesiapa yang positif akan dimasukkan ke hospital atau akan dihantar ke pusat kuarantin dan surat pengesahan mengenai perkara itu akan dikeluarkan kepada mereka. “Surat-surat tersebut dapat membuktikan dan berfungsi sebagai cuti sakit untuk ditunjukkan kepada majikan anda sama ada anda seorang pekerja harian atau bekerja di sektor awam atau swasta.

“Dengan adanya surat bukti sedemikian, tiada mana-mana pihak termasuk majikan dapat mempertikaikan anda. “Pekerja boleh melapor ke jabatan buruh jika majikannya enggan membayar gaji ketika mereka dikuarantin.

“Ini penting kerana selagi mereka yang positif, tetapi tidak tahu mereka positif dan tidak dikuarantin, mereka akan menyebarkan virus ini kepada keluarga dan rakan mereka dan akhirnya, kita tidak dapat membendung masalah ini,” tegas Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi itu.

Mengenai ACD pertama yang dilaksanakan oleh KKM membabitkan Zon Tong Sang pada Khamis lalu, Dr Annuar memberitahu, hanya 549 sampel calitan yang dikumpulkan.

“Manakala 294 sampel calitan dari ACD di Kampung Bahagia Jaya (Zon Bahagia Jaya) pada Jumaat dan 392 sampel calitan dikumpulkan dari ACD membabitkan Zon Permai dan Zon Jeriah yang diadakan di Taman Tasik Permai pada Sabtu.

“Untuk ACD Zon Tong Sang yang diadakan di pekarangan Pasar Raya Medan Mall daripada 549 sampel calitan yang dikumpulkan, lapan disahkam positif,” ujar Adun Nangka itu.

Menurut beliau, sekiranya lapan orang yang disahkan positif Covid-19 dari Zon Tong Sang itu tidak tampil untuk menjalani ujian calitan mereka akan menyebarkan virus ini kepada keluarga dan rakan mereka. Rentetan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua lapan orang terbabit yang tampil untuk menjalani ujian calitan.

Beliau juga berharap majikan bekerjasama untuk membenarkan dan mendorong pekerja mereka menjalani ujian calitan “Jika kita lambat menurunkan kes positif Covid-19 akan terjadi varian virus dan apa yang kita takutkan adalah virus yang mempunyai berlainan varian mungkin memberi kesan terhadap ketahanan terhadap vaksin yang kita miliki sekarang.

“Inilah sebabnya mengapa kita harus menurunkan kes dengan secepat mungkin. “Varian baharu yang dikesan sebelum ini amat mudah menular dan lebih bahaya dari virus sedia ada,” tambah beliau. Pada Sabtu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) melaporkan Sibu mencatatkan sebanyak 98 kes positif Covid-19.

Suara Sarawak