ARTIKEL

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja John Ilus bercakap kepada pemberita. GAMBAR UKAS

Taman Komuniti Serian bakal berubah wajah tahun depan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SERIAN: Projek menaik taraf Taman Komuniti Serian bernilai RM3 juta kini dalam fasa pelantikan perunding dan menunggu dokumentasi tender sebelum kerja fizikal dimulakan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja John Ilus berkata projek tersebut dilaksanakan di bawah Agensi Pembangunan Bersepadu Kuching Raya (GKCDA).

John Ilus menyempurnakan simbolik perasmian Bazaar Ramadan Majlis Daerah Serian di Taman Komuniti Serian. GAMBAR UKAS

“Mudah-mudahan tahun depan tempat ini akan berubah wajah,” katanya selepas merasmikan Bazaar Ramadan Majlis Daerah Serian di Taman Komuniti Serian semalam.

Menurutnya, konsep pembangunan semula yang dirancang berteraskan pendekatan terbuka dan fleksibel membolehkan kawasan itu dimanfaatkan untuk pelbagai tujuan termasuk parkir.

“Ia juga membolehkan penganjuran bazar Ramadan, konsert serta aktiviti komuniti berskala besar,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyampaikan cenderahati berbentuk apron kepada para peniaga sebagai tanda sokongan dan galakan agar terus bersemangat memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ahli Majlis Daerah, Pejabat Residen serta JKK Bandar Serian atas komitmen dan kerjasama menjayakan majlis tersebut.

John Ilus menyantuni peniaga di Bazaar Ramadan Majlis Daerah Serian. GAMBAR UKAS

“Kita berharap para peniaga akan memperoleh pendapatan yang baik, manakala orang ramai khususnya penduduk sekitar terus menyokong usaha ini demi memeriahkan suasana Ramadan di Serian,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata cadangan penganjuran bazar Gawai akan dibincangkan bersama Pejabat Majlis Daerah Serian, Pejabat Residen, Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) serta Persatuan Iban Remun.

“Tarikh dan pengisian program masih dalam peringkat perancangan,” tambahnya.

Untuk rekod, sebanyak 69 gerai mula beroperasi menawarkan pelbagai juadah berbuka puasa yang memberi peluang kepada peniaga tempatan menjana pendapatan tambahan sepanjang bulan penuh keberkatan ini.

John Ilus menyantuni peniaga ketika melawat gerai di Bazaar Ramadan Majlis Daerah Serian. GAMBAR UKAS

BERITA LAIN

BERITA TERBARU