ARTIKEL

Kelibat monyet Belanda (proboscis monkey) di celah rimbunan pokok bakau di Taman Negara Kuching Wetlands.

Taman Negara Kuching Wetlands Tawar Pengalaman Eko pelancongan Autentik

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

HANYA beberapa saat. Itu tempoh seekor lumba-lumba Irrawaddy muncul di permukaan muara Sungai Salak di sini sebelum kembali menghilang di sebalik riak air.

Pengamal media menyusuri perairan Taman Negara Kuching Wetlands, menerusi program FAM Trip (Familiarisation Trip) anjuran Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) baru-baru ini.

Kemunculan haiwan berkenaan menjadi antara pengalaman menarik ketika pengamal media menyusuri perairan Taman Negara Kuching Wetlands, menerusi program FAM Trip (Familiarisation Trip) anjuran Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) baru-baru ini, selain berpeluang melihat monyet, buaya dan kelip-kelip dalam perjalanan yang sama.

Pengalaman lapangan ini sekali gus mematahkan pandangan skeptikal sesetengah pihak yang sering menganggap hidupan liar di Sarawak sukar ditemui.

Hakikatnya, keadaan tersebut bukan bermakna fauna di Sarawak berkurangan, sebaliknya ia mencerminkan ruang habitat di Bumi Kenyalang yang amat luas, membolehkan hidupan liar bergerak bebas.

Pemandu Pelancong Taman (Park Guide) Bertauliah SFC, Bob Zakaria menegaskan bahawa rakyat Sarawak berhak berasa bangga kerana ‘rumah’ kepada spesies fauna di negeri ini masih utuh dan bersaiz amat besar.

Habitat Mereka Masih Besar

Menurut Bob Zakaria, tanggapan bahawa hidupan liar di Sarawak sukar ditemui perlu dilihat daripada perspektif ekologi dan sains pemuliharaan yang tepat.

Beliau berkata, keadaan itu sebenarnya mencerminkan kejayaan Sarawak dalam mengekalkan habitat semula jadi yang luas dan berterusan untuk hidupan liar, berbeza dengan sesetengah kawasan lain yang berdepan penyusutan habitat sehingga memaksa haiwan berkumpul di kawasan yang lebih kecil dan terhad.

“Kita sebagai rakyat Sarawak seharusnya berbangga kerana hidupan liar di sini tidak mudah dilihat. Ini menunjukkan habitat mereka masih luas dan terpelihara.

Pemandu Pelancong Taman (Park Guide) Bertauliah SFC, Bob Zakaria ketika mengiringi lawatan media ke Taman Negara Kuching Wetlands, di sini.

“Berbeza dengan tempat lain yang mengalami kekurangan habitat, haiwan di Sarawak masih mempunyai ruang yang mencukupi untuk hidup dalam persekitaran semula jadi mereka,” katanya ketika mengiringi lawatan media ke Taman Negara Kuching Wetlands.

Kenyataan itu disokong data semasa yang menunjukkan lebih 50 peratus daripada keluasan tanah Sarawak masih diliputi hutan, sekali gus menyediakan habitat penting kepada pelbagai spesies hidupan liar.

Pada masa sama, Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) komited untuk memperluas kawasan perlindungan biodiversiti negeri dengan sasaran mewartakan satu juta hektar kawasan sebagai Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (Totally Protected Areas, TPA) bagi memastikan kelangsungan ekosistem dan khazanah alam semula jadi terus terpelihara untuk generasi akan datang.

Kenapa Sarawak Berbeza?

Menyentuh perbezaan pendekatan ekopelancongan di antara Sabah dengan Sarawak, Bob berkata setiap negeri mempunyai kelebihan tersendiri berdasarkan keunikan landskap serta taburan hidupan liar masing-masing.

Menurut beliau, Sabah terkenal dengan kempen ikonik ‘Big Five’ yang menampilkan lima spesies utama iaitu gajah pygmy, orang utan, tembadau, burung enggang badak (rhinoceros hornbill) dan beruang matahari.

Katanya, kebanyakan spesies tersebut boleh ditemui dalam tempoh yang lebih singkat menerusi produk pelancongan berasaskan hidupan liar yang tertumpu di kawasan tertentu seperti sepanjang Sungai Kinabatangan.

Pengamal media menyusuri perairan Taman Negara Kuching Wetlands, menerusi program FAM Trip (Familiarisation Trip) anjuran Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan kekayaan biodiversiti Sarawak pula tersebar merentasi kawasan habitat yang jauh lebih luas dan pelbagai, sekali gus menawarkan pengalaman penerokaan yang berbeza kepada pelancong.

“Di Sarawak, pelawat yang ingin menyaksikan kepelbagaian spesies unik perlu meneroka beberapa destinasi kerana setiap kawasan mempunyai tarikan biodiversiti tersendiri.

“Sebagai contoh, mereka boleh ke perairan Miri untuk melihat ‘oriental pied hornbill’, meneroka Taman Negara Gunung Mulu bagi menjejaki ‘helmeted hornbill’, atau mengunjungi Taman Negara Tanjung Datu yang turut kaya dengan khazanah hidupan liar,” jelasnya.

Beliau berkata, pendekatan tersebut menjadikan Sarawak sebagai destinasi ekopelancongan yang menawarkan pengalaman lebih menyeluruh, dengan setiap lokasi mempamerkan keunikan ekosistem dan spesies yang berbeza.

Keaslian Pengembaraan Jadi Tarikan Ekopelancongan Sarawak

Pengalaman menyertai lawatan media anjuran SFC ke Taman Negara Kuching Wetlands memperlihatkan satu hakikat yang sering menjadi persoalan pelancong hidupan liar di Sarawak sememangnya tidak mudah ditemui, namun itulah nilai sebenar yang menjadikan pengalaman ekopelancongan negeri ini unik.

Berbeza dengan sesetengah destinasi yang menawarkan peluang melihat haiwan dalam kawasan yang lebih tertumpu, pelawat ke Sarawak perlu meneroka habitat semula jadi yang luas dan pelbagai untuk menyaksikan sendiri kehidupan liar dalam persekitaran asalnya.

Pengalaman melihat lumba-lumba Irrawaddy muncul beberapa saat di permukaan air, kelibat monyet Belanda di celah pokok bakau, seekor buaya yang timbul seketika sebelum menghilang, serta cahaya kelip-kelip yang menerangi kawasan hutan bakau pada waktu senja menggambarkan keaslian ekosistem yang masih terpelihara.

Seekor buaya timbul seketika di permukaan air di Taman Negara Kuching Wetlands, antara hidupan liar yang menghuni ekosistem tanah lembap berkenaan.

Bagi lumba-lumba Irrawaddy, pengamal media yang mengikuti lawatan itu turut perlu menunggu beberapa minit sebelum mamalia berkenaan muncul di permukaan air. Kemunculannya hanya seketika sebelum kembali menyelam, namun tiada usaha dilakukan untuk mendekati atau mengejarnya demi mendapatkan rakaman lebih jelas. Ini kerana perairan berkenaan ialah habitat semula jadinya yang perlu dihormati dan tidak diganggu.

Begitu juga ketika meninjau kawasan habitat monyet Belanda. Jarak antara bot dan kawasan berkenaan dikekalkan bagi mengelakkan kehadiran manusia mengganggu atau mengancam haiwan tersebut.

Jelas Bob Zakaria, monyet Belanda lazimnya lebih mudah dikesan pada awal pagi serta sekitar 4 hingga 5 petang, ketika haiwan berkenaan aktif mencari makanan.

Ujarnya, monyet Belanda merupakan haiwan herbivor yang menjadikan pucuk dan bunga muda serta buah yang belum matang sebagai sumber makanan utama.

Katanya, antara tumbuhan yang menjadi sumber makanan spesies berkenaan ialah pokok perepat yang tumbuh meliar di kawasan bakau, khususnya pucuk mudanya.

“Bagi kita, ia mungkin seperti antibiotik semula jadi mereka. Monyet Belanda mempunyai sistem penghadaman yang sangat sensitif dan tidak boleh sewenang-wenangnya diberikan makanan seperti buah-buahan yang biasa dimakan manusia.

“Diet mereka sangat khusus dan bergantung kepada daun serta tumbuhan tertentu, khususnya yang terdapat di kawasan bakau,” ujarnya.

Setiap kemunculan spesies tersebut berlaku secara semula jadi tanpa sebarang campur tangan manusia, sekali gus memberikan pengalaman yang lebih autentik kepada pengunjung.

Hutan hujan tropika dan kawasan tanah lembap yang masih luas di Sarawak bukanlah kekangan kepada industri pelancongan. Sebaliknya, keadaan itu mencerminkan kejayaan usaha pemuliharaan dan pengurusan habitat yang dilaksanakan secara berterusan oleh kerajaan negeri melalui SFC.

Lebih penting, pengalaman di Kuching Wetlands turut mengingatkan bahawa aktiviti ekopelancongan perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab. Dalam keghairahan melihat hidupan liar, pelawat juga perlu menghormati sempadan antara pemerhatian dan gangguan habitat semula jadi.

Apa-apa yang dilihat oleh pelawat mungkin hanya berlangsung beberapa saat, namun bagi hidupan liar, kehidupan mereka terus berjalan seperti biasa selepas bot meninggalkan kawasan tersebut.

Hakikat itu menjadi peringatan bahawa kawasan hutan, sungai dan tanah lembap bukan sekadar destinasi pelancongan, tetapi merupakan habitat yang menjadi tempat bergantung hidup ribuan spesies flora dan fauna yang perlu terus dipelihara untuk generasi akan datang.

BERITA LAIN

Hasil meningkat, alam terpelihara

HAMPARAN tanaman sawit yang terbentang dari Sematan hingga ke Miri menggambarkan kedudukan penting komoditi sawit dalam ekonomi Sarawak. Namun, di sebalik barisan pokok sawit yang

BERITA TERBARU