MIRI: Seramai 133 peserta terdiri daripada pelajar, komuniti tempatan serta wakil agensi dan kerajaan tempatan memeriahkan program khidmat komuniti yang berlangsung di Taman Negara Niah, baru-baru ini.
Program anjuran Institut Kepelbagaian Biologi dan Pemuliharaan Alam Sekitar (IBEC), Universiti Malaysia Sarawak, dengan kerjasama Perbadanan Hutan Sarawak (SFC) itu dilaksanakan bersempena ulang tahun pertama pengiktirafan Taman Negara Niah sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Sekali gus menyaksikan peserta terdiri daripada pelajar dari empat buah sekolah, Tuai Rumah, Penghulu, Kapitan, guru-guru serta kakitangan kerajaan berganding bahu menjalani program bertemakan Kebersamaan menjaga Taman Negara Niah menerusi Sains Rakyat.

Wakil penganjur dalam satu kenyataan berkata, tujuan utama program adalah untuk mengetengahkan peranan aktif komuniti tempatan dalam pemeliharaan alam sekitar melalui pendekatan sains rakyat.
“Program hasil kerjasama bersama SFC sebagai satu inisiatif menyatukan institusi akademik dan masyarakat tempatan dalam usaha memperkukuh kesedaran terhadap kepentingan pemeliharaan biodiversiti serta ekosistem warisan negara.
“Ia memberi pendedahan kepada masyarakat tentang prinsip-prinsip ekologi serta faedah yang diperoleh daripada kepelbagaian biologi kepada manusia.
“Selain itu, menyemai rasa cinta dan penghayatan alam sekitar sebagai aspek penting dalam memastikan kekayaan biotik negara digunakan secara lestari tanpa mengakibatkan kemusnahan,” jelas kenyataan itu.
Tambahnya, menerusi program, para peserta turut didedahkan dengan kefahaman tentang peruntukan kuasa dan undang-undang berkaitan pemeliharaan biodiversiti serta tanggungjawab agensi terlibat.
Turut diadakan aktiviti pendidikan yang melibatkan pelajar dari empat buah sekolah di sekitar Taman Negara Niah.
Tegasnya, IBEC optimis untuk menganjurkan program seumpama itu dalam usaha mempererat hubungan antara universiti dan masyarakat.
Di samping itu, ia juga sebagai platform untuk menunjukkan peranan penting dalam menjamin kelestarian biodiversiti negara khususnya di kawasan warisan dunia yang diiktiraf seperti Taman Negara Niah.



