SERIAN: Majlis Daerah Serian (MDS) komited untuk menaik taraf serta memajukan Taman Rekreasi Ranchan pada masa akan datang.
Usaha itu bagi memastikan taman terbabit mampu menjadi antara tarikan utama di samping lokasi pilihan menikmati keindahan alam semula jadi buat para pengunjung.
Perkara itu antara yang diusulkan dalam sesi perjumpaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus bersama ahli-ahli majlis MDS di Dewan Ranchan Serian hari ini.
“Banyak input telah dikemukakan dan kita berharap MDS bersama para konsultan dapat terus mencadangkan usaha penambahbaikan dari semasa ke semasa.

“Usaha ini perlu mengikut keadaan masa kini agar nama Taman Ranchan terkenal seperti suatu ketika dahulu,” katanya dalam satu kenyataan.
Manakala pada sebelah petang, John Ilus menegaskan pihaknya turut mengadakan lawatan ke Hab Digital Serian dan PEDI Tangga Plaman.
Katanya, lawatan tersebut bertujuan melihat keadaan usaha dan kemudahan digital di pusat berkenaan.
Perjumpaan melibatkan ahli-ahli majlis MDS terdiri daripada Pengerusinya, Lim Hock Meng, Timbalan Cr Nicholas Jub, Setiausaha MDS Tay Guan Huat dan beberapa konsultan dari syarikat-syarikat tempatan.
Turut hadir, pegawai-pegawai dari agensi Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA).



