ARTIKEL

Nancy berucap pada Program Gempak Inspirasi @ Sepagi Bersama Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) 2025 di sini, hari ini. FOTO: ALIF NONI

Tambah baik undang-undang sedia ada berkaitan buli – Nancy

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Meskipun belum ada keperluan untuk menggubal akta baharu berkaitan isu buli, namun penambahbaikan undang-undang sedia ada boleh dipertimbangkan dengan mengambil kira perkembangan semasa.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, walaupun kes buli semakin mendapat perhatian kebelakangan ini, tindakan undang-undang terhadap pelaku tetap boleh diambil berdasarkan peruntukan sedia ada.

“Setakat ini belum ada keperluan untuk mewujudkan akta baharu kerana kesalahan itu sudah termaktub dalam Kanun Keseksaan, yang menyatakan buli adalah satu kesalahan jenayah dan menetapkan penalti terhadap pelaku,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Gempak Inspirasi @ Sepagi Bersama Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) 2025 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas isu gesaan Gerakan Gubal Akta Antibuli untuk kerajaan mempertimbangkan penggubalan akta khusus berkaitan buli yang merangkumi takrifan jelas, elemen kesedaran, pencegahan serta prosedur aduan.

Ia susulan ketika ini kesalahan buli masih tidak mempunyai takrifan serta hukuman spesifik di bawah mana-mana undang-undang, sebaliknya hanya mengguna pakai Kanun Keseksaan dan Akta Kanak-Kanak 2001 yang dianggap tidak mencukupi untuk melindungi mangsa, sama ada kanak-kanak mahupun orang dewasa.

Tambahnya, kementerian beliau bukan pihak yang bertanggungjawab secara langsung terhadap penggubalan undang-undang berkaitan.

“Sebaliknya perkara itu berada di bawah bidang kuasa Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri dan Peguam Negara yang akan membuat pendakwaan.

“Kementerian saya serta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak mendakwa, namun perkara ini boleh dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet sekiranya wujud keperluan,” jelasnya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan kepentingan semua pihak termasuk ibu bapa, institusi pendidikan dan masyarakat untuk bersama-sama memainkan peranan dalam membendung isu buli daripada terus berleluasa.

Untuk rekod, statistik rasmi menunjukkan peningkatan ketara jumlah kes buli yang menyebabkan kecederaan di Malaysia, daripada sekitar 3,000 kes pada tahun 2015 melonjak kepada lebih 5,300 kes pada tahun 2023, bersamaan kenaikan hampir 77 peratus dalam tempoh lapan tahun.
Data KPM menunjukkan majoriti kes melibatkan buli secara fizikal dan lisan, manakala sebahagian lagi berbentuk buli siber yang semakin sukar dibendung. Keadaan ini memerlukan pendekatan baharu yang lebih tegas daripada pihak berkuasa.

Sebagai respons, kerajaan memperkenalkan pindaan Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 [Akta A1750], yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda atau kedua-duanya sekali kepada pelaku buli, khususnya apabila perbuatan itu menyebabkan mangsa cedera parah, mencederakan diri sendiri, mencuba membunuh diri atau meninggal dunia.

Pindaan ini memperkenalkan seksyen baharu 507B hingga 507G yang meliputi pelbagai bentuk buli termasuk fizikal, penghinaan, gangguan emosi dan buli siber.

BERITA LAIN

RM1.272 bilion perkukuh bekalan air di Sarawak

KUCHING: Enam projek bekalan air di Sarawak bernilai keseluruhan RM1.272 bilion akan diteruskan menerusi Pelan Pelaksanaan Berkala Pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi meningkatkan akses

BERITA TERBARU

RM1.272 bilion perkukuh bekalan air di Sarawak

KUCHING: Enam projek bekalan air di Sarawak bernilai keseluruhan RM1.272 bilion akan diteruskan menerusi Pelan Pelaksanaan Berkala Pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi meningkatkan akses

Polis tahan empat suspek kes khianat simbah cat

MIRI: Gara-gara tuntutan hutang pinjaman wang dalam talian yang dipercayai dibuat oleh anak lelakinya, seorang bapa berusia 54 tahun menerima ugutan sebelum kediamannya di sebuah