Tambah bantuan sara hidup

KUCHING: Cuepacs merayu Kerajaan Perikatan Nasional (PN) mempertimbang perkara yang telah dirancang dan diumum oleh kerajaan terdahulu.

Presidennya Adnan Mat berkata, banyak perkara melibatkan pemerkasaan dan peningkatan kebajikan pekerja dalam sektor kerajaan tidak dapat dilaksanakan berikutan perubahan kerajaan.

Menurutnya, antara perkara yang telah diumum tetapi tidak dilaksanakan hingga kini adalah kenaikan Gaji Tahunan (KGT) bersamaan Satu KGT secara khas kepada semua penjawat awam di samping KGT biasa setiap tahun berkuatkuasa 1 Julai 2018.

“Selain itu, pemendekan kenaikan pangkat secara Time Based kali kedua dikurangkan daripada 13 tahun kepada 10 tahun berkuat kuasa 1 Januari 2018.

“Ia termasuk penebusan awal Gantian Cuti Rehat (GCR) sebanyak 75 hari untuk ganjaran wang tunai bagi penjawat awam yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 15 tahun (diumumkan oleh Menteri Kewangan semasa pembentangan Bajet 2020 pada 11 Oktober 2019).

“Penjawat awam Semenanjung mendapat tambahan Bantuan Sara Hidup (Cola) RM50. Kami mohon agar penjawat awam di Sabah dan Sarawak juga diberi tambahan Cola M50 yang diletak dalam elaun wilayah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Apresiasi Bagi Petugas Barisan Hadapan Bersama Ketua-Ketua Jabatan di Pejabat Cuepacs Negeri Sarawak, di sini, kelmarin.

Adnan memberitahu, hingga kini Cuepacs tidak menerima sebarang jawapan kukuh dan berpendapat perkara itu boleh dilaksanakan oleh Kerajaan PN.

Tambahnya, empat perkara tersebut adalah perkara lama dan mereka tidak mahu ia diumumkan semula dalam belanjawan yang akan datang, sebaliknya kerajaan perlu melaksanakan perkara tersebut.

“Tuntutan ini sudah ada dalam catatan kerajaan dan dalam belanjawan yang dibentang kerajaan.

“Kami hanya meningatkan dan merayu agar ia dapat dipertimbangkan dan dilaksanakan segera,” katanya.

Suara Sarawak