KUCHING: Kerajaan Sarawak bersetuju untuk menambah jumlah feri dan melanjutkan masa operasi bagi tempoh 25 Mei hingga 16 Jun ini.

Menteri Muda Jalan Pesisir Datuk Julaihi Narawi berkata, pertambahan bilangan dan lanjutan tempoh perkhidmatan feri di sepanjang laluan jalan pesisir untuk menampung permintaan menjelang musim perayaan serta cuti sekolah.

“Tidak lama lagi kita akan menyambut Hari Gawai, Hari Raya Aidilfitri dan cuti sekolah bermula.

“Maka, bagi menampung jumlah trafik di jalan pesisir sempena musim cuti sekolah, lima feri akan ditambah dalam tempoh 23 hari,” katanya pada satu sidang media di sini, semalam.

Menurut Julaihi, pertambahan lima feri adalah di pangkalan Sungai Sian di Bintangor, Batang Lawas di Limbang serta Muara Lassa, Batang Paloh dan Kuala Igan di Mukah.

“Selain itu, kita melanjutkan tempoh perkhidmatan feri Sebuyau-Triso di bahagian Samarahan dan Betong, Batang Saribas (Pusa-Beladin) di Betong, Sungai Sian, Bintangor di Sarikei, Batang Lawas di Limbang serta Muara Lassa, Batang Paloh dan Kuala Igan di Mukah.

“Bagi pangkalan feri Sebuyau-Triso di Bahagian Samarahan dan Betong, masa operasi feri pertama dilanjut sehingga jam 12 tengah malam, feri kedua dilanjutkan sehingga jam 2 pagi hari seterusnya, manakala feri ketiga beroperasi seperti biasa dari jam 8 pagi hingga 10 malam,” jelasnya.

Katanya, feri di Batang Saribas (Pusa-Beladin) di Bahagian Betong tidak ditambah kerana operatornya kekurangan krew, namun tempoh perkhidmatan dilanjutkan sehingga jam 12 tengah malam untuk feri pertama dan sehingga jam 2 pagi keesokannya bagi feri kedua.

“Perkhidmatan feri pertama di Sungai Sian, Bintangor di Bahagian Sarikei bermula seawal jam 5 pagi dan dilanjutkan sehingga 12 tengah malam, manakala tambahan feri kedua bermula dari jam 6 pagi hingga 10 malam.

“Di Batang Lawas Bahagian Limbang, perkhidmatan feri pertama dilanjutkan dari 8 malam hingga 12 tengah malam, manakala feri tambahan kedua beroperasi dari jam 6 pagi hingga 8 malam,” ujarnya.

Katanya lagi, perkhidmatan feri di Muara Lassa, Batang Paloh dan Kuala Igan di Bahagian Mukah pula dilanjutkan sehingga 12 tengah malam bagi feri pertama dan kedua sementara feri ketiga beroperasi dari jam 6 pagi hingga 8 malam.

Julaihi menambah, langkah itu dilihat mampu mengurangkan masa menunggu di pangkalan feri pada waktu puncak.

Oleh itu, beliau menasihatkan para pengguna jalan raya yang menggunakan perkhidmatan feri di seluruh Sarawak untuk sentiasa mematuhi peraturan keselamatan dan memberi kerjasama semasa kenderaan keluar masuk.

Ujarnya, ketika kenderaan berada dalam feri, enjin harus dimatikan, brek tangan ditarik dengan ketat dan para pengguna perlu peka terhadap lokasi alat bantuan kecemasan seperti jaket, pelampung serta rakit.

Suara Sarawak