ARTIKEL

Kredit: Bernama

Tambah kerusi DUN dan Parlimen dua proses berbeza – Pergerakan Pemuda PBB Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Penambahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak tidak secara automatik membawa kepada pertambahan kerusi Parlimen, tegas Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak.

Pergerakan itu berkata, dakwaan DAPSY Sarawak bahawa penambahan kerusi DUN ‘gagal’ kerana tidak disertai pertambahan kerusi Parlimen adalah mengelirukan dan menunjukkan kekeliruan dengan proses perlembagaan Persekutuan.

“Penambahan kerusi DUN dan kerusi Parlimen merupakan dua proses berbeza. Kerusi DUN berada di bawah bidang kuasa Sarawak melalui pindaan Perlembagaan Negeri.

“Pertambahan kerusi Parlimen pula hanya boleh dibuat melalui pindaan di peringkat Persekutuan berdasarkan Perkara 46 Perlembagaan Persekutuan dan memerlukan kelulusan Parlimen Malaysia,” katanya dalam kenyataan satu kenyataan, semalam.

Mengulas lanjut, katanya, Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak pernah menyatakan bahawa pertambahan kerusi DUN akan secara automatik menghasilkan kerusi Parlimen baharu.

Sebaliknya, penstrukturan semula DUN merupakan langkah strategik bagi memastikan kawasan persempadanan semula mendapat representasi yang lebih adil, selain memperkukuhkan asas tuntutan Sarawak untuk mendapatkan lebih banyak kerusi Parlimen pada masa hadapan.

Dalam pada itu, Sarawak mempunyai asas yang kukuh untuk menuntut pertambahan kerusi Parlimen berdasarkan kedudukannya ketika pembentukan Malaysia pada 1963.

Pergerakan itu turut mempersoalkan pendirian DAP di peringkat Parlimen berhubung tuntutan penambahan kerusi Parlimen Sarawak, khususnya dengan kedudukannya sebagai antara parti dominan dalam kerajaan perpaduan ketika ini.

Tegasnya, DAP perlu menjelaskan sama ada Ahli Parlimennya pernah menyuarakan cadangan berhubung pertambahan kerusi Sarawak di Parlimen serta kesediaan menyokong pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi tujuan berkenaan.

Pada masa sama, Pergerakan Pemuda PBB Sarawak menegaskan GPS akan terus memperjuangkan hak Sarawak melalui saluran perundangan dan rundingan dengan Kerajaan Persekutuan.

Tambahnya, usaha menambah kerusi Parlimen Sarawak ketika ini dibincangkan melalui Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) dan tidak bergantung kepada satu proses persempadanan semula semata-mata.

“Hak Sarawak perlu diperjuangkan berasaskan fakta dan Perlembagaan, bukannya retorik politik yang boleh mengelirukan rakyat,” tambahnya lagi.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU