Tambahan 310 PUS di Sarawak

KUCHING: Terdapat penambahan seramai 310 orang rakyat Sarawak yang tiba dari luar negara, Semenanjung, Sabah dan Labuan ditempatkan di pusat kuarantin sebagai Individu Dalam Pemantauan (PUS) pada hari ini.

Menurut Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, ia menjadikan jumlah keseluruhan PUS seramai 1,063 orang.

Beliau menambah sebanyak 11 buah hotel juga telah digunakan sebagai pusat kuarantin PUS di seluruh negeri.

“Di Kuching, seramai 116 orang ditempatkan di Hock Lee, Rajah Court Dormani (85), Kuching Park (78), Pullman (98) manakala di Miri ialah Mega (81), Somerset (45), Ostay Inn (15), Cosy Inn (40), Imperial Palace (145), Eastwood Resort (25), Imperial (8).

“Selain itu di Limbang iaitu Purnama (94) dan Bintulu di Park City Everly (233),” katanya pada sidang media mengenai perkembangan terkini Covid-19 Sarawak di sini, hari ini.

Sementara, Karim yang juga timbalan pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata seramai 870 kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) terdiri daripada 316 penguatkuasa, 390 kakitangan Unit Kesihatan Awam dan 164 kakitangan lain sedang melaksanakan tugas sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya terdapat 54,610 premis perniagaan dilesen oleh PBT di seluruh Sarawak.

Manakala, beliau berkata Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak mulai 30 Mac yang lalu sehingga tempoh PKP tamat akan melakukan operasi nyah cemar di lokasi yang telah dikenal pasti sebagai Zon Merah dan Zon Jingga.

“Sehingga hari ini bilangan operasi dan lokasi adalah Kuching (58), Samarahan (9), Serian (1), Sri Aman (5), Betong (3), Sarikei (13), Sibu (3), Bintulu (7), Miri (38) dan Limbang (10),” katanya.

Karim menambah secara kumulatif agensi yang terlibat dalam operasi nyah cemar sehingga hari ini adalah bomba (1,083), PBT (673), Kementerian Kesihatan Malaysia (306), Angkatan Pertahanan Malaysia (161), Rela (118), PDRM (100), Pejabat Daerah (35) dan lain-lain (44).

Suara Sarawak