ARTIKEL

Nur Ainn Alhadi

Tambang Tetap AirAsia Di Musim Perayaan Legakan Anak Perantau Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: AirAsia menawarkan tiket penerbangan tambang tetap bagi laluan sehala dari Kuala Lumpur ke Sarawak pada kadar RM328 dan ke Sabah pada harga RM398 sempena sambutan perayaan Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, yang menyatakan bahawa inisiatif berkenaan bertujuan memastikan rakyat Malaysia dapat pulang ke kampung halaman dengan kadar tambang yang mampu milik ketika musim perayaan.

Suara Sarawak telah menemu bual beberapa rakyat Sarawak yang menetap di Semenanjung Malaysia bagi mendapatkan pandangan mereka mengenai pelaksanaan inisiatif tersebut.

NUR AINN ALHADI, 24, PELAJAR

“Sebagai seorang pelajar yang belajar di Semenanjung Malaysia, tawaran tiket penerbangan murah amat memudahkan saya kerana tambang penerbangan kebiasaannya sangat mahal, terutamanya semasa musim perayaan. Justeru, inisiatif ini membantu saya mengurus kos perjalanan dengan lebih baik. Saya berharap kerajaan dapat memastikan tambang penerbangan kekal berpatutan, khususnya ketika musim perayaan, bagi meringankan beban rakyat.”

HASHIMAH HARON, 28, PENJAWAT AWAM

“Saya menghargai usaha AirAsia memperkenalkan tambang tetap sempena musim perayaan kerana ia dapat mengelakkan kenaikan harga yang melampau sehingga mencecah RM400 hingga RM500 bagi penerbangan sehala. Namun, pada pandangan saya, harga tambang tetap tersebut masih agak tinggi jika dibandingkan dengan harga pada hari biasa, iaitu sekitar RM200 hingga RM250. Diharapkan kerajaan dapat memantau serta mengawal harga tiket penerbangan ke Sabah dan Sarawak, terutamanya ketika musim perayaan. Langkah seperti kawalan harga wajar dipertimbangkan supaya tambang yang ditawarkan lebih adil dan mampu milik.”

Hashimah Haron

FAIZATUL ARDILA NOH, 27, PENJAWAT AWAM

“Langkah ini amat baik dan membantu, khususnya rakyat Sabah dan Sarawak yang ingin pulang menyambut perayaan. Sekurang-kurangnya harga tiket lebih terkawal dan tidak terlalu membebankan. Saya berharap kerajaan dapat terus memantau harga tiket penerbangan serta memperluaskan inisiatif seperti ini agar tambang ke Sabah dan Sarawak sentiasa berpatutan, bukan hanya semasa musim perayaan.”

Faizatul Ardila Noh

ANWARIAH ALYANI MOHD ANNUAR, 26, PENJAWAT AWAM

“Harga yang ditawarkan adalah berpatutan jika dibandingkan dengan harga pasaran semasa musim perayaan yang boleh mencecah ribuan ringgit. Inisiatif ini secara langsung membantu anak perantau di Semenanjung untuk pulang menyambut perayaan. Pada masa sama, kerajaan perlu mencari formula jangka panjang bersama syarikat penerbangan supaya harga tiket semasa musim perayaan sentiasa terkawal.”

Anwariah Alyani Mohd Annuar

NUR IERAMINA SAFIAN, 27, PENJAWAT AWAM

“Inisiatif ini membantu mengurangkan beban kewangan rakyat, khususnya anak perantau yang ingin pulang bercuti atau menyambut perayaan bersama keluarga. Pelaksanaan tambang tetap juga memudahkan pengguna dengan mengelakkan kenaikan harga tiket yang terlalu tinggi secara mendadak. Diharapkan kerajaan dapat terus memantau harga tiket penerbangan, terutamanya bagi laluan penting seperti Semenanjung–Sabah dan Sarawak. Kerajaan juga perlu memberi insentif atau subsidi bersasar kepada syarikat penerbangan supaya lebih banyak pilihan tambang mampu milik dapat ditawarkan kepada rakyat.”

Nur Ieramina Safian

BERITA LAIN

Teknologi dan skala perniagaan kunci kenaikan gaji pekerja

KUALA LUMPUR: Penggunaan teknologi dan peningkatan skala perniagaan mampu memperkukuh produktiviti serta keupayaan syarikat untuk mengembalikan hasil pertumbuhan kepada pekerja menerusi kenaikan gaji. Menteri Ekonomi,

BERITA TERBARU