KUCHING: Pengumuman tambang tetap AirBorneo pada harga RM375 menjadi penanda aras kepada syarikat penerbangan lain, sekali gus membantu menstabilkan harga tiket di pasaran.
Setiausaha Kerajaan Sarawak merangkap Pengerusi AirBorneo Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, penumpang juga berpeluang menikmati kadar tambang yang sama pada musim perayaan dan bagi tempahan saat akhir sepanjang tempoh promosi tambang Sarawakku Sayang berlangsung.
Menurutnya, pelbagai reaksi daripada masyarakat diterima di media sosial termasuk negatif dan positif.

“Selepas kadar tambang tersebut diumumkan, syarikat penerbangan lain turut menyesuaikan harga mereka kepada kadar yang lebih kurang sama.
“Kita tidak mungkin dapat memenuhi kehendak semua pihak, namun penambahbaikan serta usaha memperkenalkan pelbagai pembaharuan akan terus dilakukan bagi memastikan perkhidmatan terbaik boleh disampaikan kepada rakyat.
“Yang penting sekarang adalah kita berjaya membantu menstabilkan pasaran buat masa ini,” katanya ketika berucap pada sesi Meja Bulat Media Kuching bersama AirBorneo di Hotel Hilton di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau menerima maklumat bahawa ada yang terpaksa membayar sehingga RM800 bagi tambang sehala ke Kuala Lumpur, malah mencecah RM1,000 ketika musim puncak.

Tambahnya, AirBorneo memperkenalkan tambang tetap yang tidak berubah walaupun penumpang melakukan perjalanan pada musim Gawai, hari raya atau membuat tempahan pada saat akhir bagi tempoh promosi tambang Sarawakku Sayang.
“Bagaimanapun, sebarang pengumuman atau pelarasan tawaran akan diuar-uarkan dan perkara itu bergantung kepada keputusan Kerajaan Sarawak,” ringkasnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin menjelaskan bahawa tambang tetap ekonomi pada harga RM375 bagi laluan Kuala Lumpur-Kuching turut merangkumi semua kos.
Manakala, tambang kelas perniagaan bermula daripada RM736 sehala, dengan kelebihan tertentu bergantung pakej tambang yang dipilih.
Megat turut menegaskan bahawa AirBorneo masih menilai penerimaan pasaran ke atas tawaran promosi tempahan tiket yang akan berlangsung sehingga 27 Mac tahun hadapan.


