GEDONG: Isu tanah mendap di kawasan Tebingan Sungai Gedong mendapat perhatian serius daripada wakil rakyat dalam usaha memastikan kerja-kerja baik pulih dapat dilaksanakan segera.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata perkara tersebut penting untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan penduduk setempat terjamin.


Katanya, beliau bersama-sama dengan Wakil Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong, Datuk Seri Naroden Majais dan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Sarawak, Datuk Ir. Ts. Ahmad Denney Ahmad Fauzi hari ini telah turun padang untuk meninjau isu tanah mendap tersebut.
Jelasnya, lawatan tersebut bertujuan untuk menilai kesan tanah mendap dan potensi risiko kepada keselamatan awam
serta mendapatkan maklumat teknikal terus daripada agensi berkaitan.
“Selain itu, ia juga sebahagian daripada usaha untuk merancang tindakan segera dan jangka panjang bagi pemulihan kawasan terjejas.
“Ekoran itu, saya telah meminta agar satu laporan teknikal terperinci disediakan segera dan tindakan pembaikan dimulakan secepat mungkin demi keselamatan dan kesejahteraan penduduk,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, pihaknya juga berkesempatan bertemu dengan pemilik rumah yang terjejas akibat kejadian tanah mendap ini.
“Segala kebimbangan dan pandangan mereka telah didengar dan akan diambil kira dalam pelan tindakan pemulihan.
“Terima kasih kepada semua pihak yang hadir dan komited dalam menangani isu ini. Insya-Allah, sama-sama kita doakan agar tiada perkara yang tidak diingini berlaku,” ujarnya.





