ARTIKEL

RUNDI ketika berucap pada bacaan ketiga RUU berkenaan pada persidangan DUN Sarawak. FOTO: UKAS

Tanah NCR Jadi Cabaran Pembangunan Projek Padi Batang Lupar

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pelibatan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) menjadi antara cabaran bagi meneruskan pelaksanaan fasa seterusnya projek pembangunan padi Batang Lupar di bawah Projek Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi (NKEA) 11.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (MFICORD) Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata, kebanyakan kawasan penanaman padi sedia ada di lokaliti berkenaan merupakan tanah NCR.

Justeru, memberi cabaran kepada pembangunan estet padi moden yang memerlukan penyusunan semula tanah bagi membolehkan mekanisasi dilaksanakan secara lebih berkesan selain penyediaan sistem pengairan dan saliran yang lebih cekap dan sistematik.

“Persetujuan daripada sebahagian pemilik tanah bagi tujuan penyusunan semula tanah tidak dapat diperoleh.

“Susulan itu, pembangunan infrastruktur bagi fasa-fasa seterusnya terpaksa dihadkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada bacaan ketiga Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Padi dan Beras Sarawak 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, projek yang dicadangkan pada 2013 itu melibatkan kawasan pembangunan seluas 5,100 hektar dengan anggaran kos RM950 juta dan dirancang memberi manfaat kepada sekitar 5,167 individu menerusi pelaksanaan secara berfasa.

“Bagi fasa pertama, seluas 200 hektar berjaya dibangunkan dengan peruntukan RM21 juta bagi menyediakan infrastruktur lengkap sehingga ke peringkat tertier, dengan BERNAS dilantik sebagai syarikat peneraju.

“Dari tahun 2013 hingga 2025, sebanyak 1,306 hektar kawasan dibangunkan dengan kemudahan infrastruktur utama dan sekunder melibatkan kos pembangunan RM148.7 juta serta memberi manfaat kepada 664 petani.

“Bagaimanapun, selepas kerja-kerja infrastruktur siap dilaksanakan dan kemudahan disediakan, sebahagian pemilik tanah didapati menggunakan kawasan tersebut bagi tanaman lain, khususnya kelapa sawit,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menjelaskan bahawa beberapa isu yang dibangkitkan ADUN Pending sebenarnya telah pun menjadi sebahagian daripada inisiatif kementerian sebelum ini.

“Beras premium Sarawak ketika ini merupakan satu-satunya beras tempatan yang direkodkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sebagai mempunyai lesen eksport antarabangsa termasuk ke Singapura, New Zealand, Hong Kong dan beberapa destinasi lain,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU