ARTIKEL

Tandas sekolah bersih

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SEKEMBALI dari sekolah, anak saya memulakan bicara.

Dia mengharapkan tandas sekolah akan diselenggara.

“Susah pelajar nak gunakan tandas kalau tandas selalu rosak,” katanya yang kadang-kadang terpaksa membatalkan niat buang air besar disebabkan pintu tandas rosak.

Yang diperkatakan oleh anak saya itu rupa-rupanya sama dengan yang dialami oleh pelajar di sekolah lain.

Saya pernah terdengar perbualan seorang pelajar dengan bapa kepada rakannya tentang tandas yang rosak.

“Kamek tunggu sampe rumah nak buang air besar pak cik.

Sik selesa kamek di tandas sekolah,” jelas pelajar itu.

Masalah tandas rosak ini juga sering dibincangkan dalam mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru banyak sekolah.

Ketika hadir membuat liputan mesyuarat itu pun saya ada terdengar masalah ini dibangkitkan oleh ibu bapa.

“Kami (ibu bapa) bangkitkan hal ini sebab anak-anak kami membuat aduan tidak dapat menggunakan tandas sekolah dengan selesa,” jelas seorang bapa yang turut disokong yang lain.

Perkara ini berlaku lama dahulu.

Malah dalam satu lagi mesyuarat agung PIBG, saya pernah mendengar jawapan daripada pihak sekolah yang sedar akan masalah tersebut.

Disebabkan kekangan kewangan, pihak sekolah berharap ibu bapa juga membantu mengatasi masalah ini.

“Pihak sekolah sedar akan masalah ini.

Kadang-kadang hari ini kita baiki, esok rosak balik.

Pada masa yang sama, pihak kami berharap tuan-tuan yang pakar dalam kerja tukang, boleh bantu kita baiki tandas rosak,” pelawa seorang guru.

Memang ada bapa yang hadir ke sekolah membantu baiki tandas yang rosak.

Menjengah di Facebook, Noraini Maskam ada berkongsi pandangan: “Sekolah anak saya dulu PIBG keluar bajet repair toilet. Bila dah cantik, tak sampai sebulan dah rosak balik.

Geram betul!”

Pada masa yang sama, pihak sekolah turut mengharapkan ibu bapa menasihatkan anakanak mereka agar peka dengan kepentingan menjaga tandas sekolah. Jelas penolong kanan sekolah, “Mungkin ibu bapa boleh bercakap dengan anak-anak supaya menjaga tandas sekolah.

Kita di sekolah sentiasa memberikan teguran, jadi kita harap ibu bapa pun dapat sama membantu kami pihak sekolah”.

Situasi ini berlaku ketika tidak banyak peruntukan disediakan khusus untuk menyelenggara ataupun menaik taraf tandas sekolah.

Dan, sekarang situasi pasti berbeza kerana setiap sekolah sudah disediakan peruntukan untuk tujuan tersebut.

RM70,000 setiap sekolah Julai lalu, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia mengumumkan peruntukan RM70,000 kepada setiap sekolah untuk kerja-kerja penyelenggaraan tandas sekolah.

Perkara ini diumumkan oleh Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek yang memaklumkan, pihaknya sudah menurunkan peruntukan penyelenggaraan kepada semua sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia.

Beliau dipetik berkata, “Semua sekolah akan menerima RM70,000 lebih kurang untuk penyelenggaraan sekolah.

Kami hanya bagi tiga bulan sahaja untuk semua sekolah melaksanakan program ini. Hasilnya kita nak tengok impaknya kepada naik taraf tandas sekolah”.

Hasilnya, setakat 22 September lalu, Unit Penyelarasaan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) memaklumkan, sebanyak 7,544 atau 90.3 peratus projek penyelenggaraan kecil Kementerian Pendidikan sedang dalam proses dan siap dilaksanakan Memetik Bernama, ICU JPM dalam kenyataan turut memaklumkan pihaknya dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia dipertanggungjawab untuk melaksanakan projek penyelenggaraan kecil melibatkan penyelenggaraan tandas 8,354 sekolah dengan peruntukan RM630.77 juta yang bermula pertengahan Julai lepas.

Jelas kenyataan itu lagi, baki sebanyak 810 atau 9.7 peratus projek sedang dalam peringkat akhir perolehan, dengan projek penyelenggaraan ini dijangka disiapkan pada penghujung Oktober lalu.

Walaupun mungkin ada tandas sekolah yang masih dalam proses selenggara, namun ia adalah berita gembira kepada pelajar.

Malah, kegembiraan ini turut dikongsi melalui media sosial yang disertakan dengan gambar proses penyelenggaraan.

Muhd Sabiq dalam Facebook berkongsi satu hantaran Muhammad Hakim Property dengan meninggalkan komen: “Cantik tandas sekolah.”

Pun demikian dia meninggalkan satu lagi komen, “Harap mak bapa yang anaknya vandalisme didenda ganti balik jika tak memakai (tandas) dengan elok.”

Pemandu Acgas membalas komen: “Alhamdulillah satu tandas RM70,000.

Macam ini memang cantik, cuma perlukan perhatian bila digunakan”.

Izzati D Mizzu turut meninggalkan komen memuji: “Apasal kalah tandas hotel ni”.

Sebenarnya ramai yang berkongsi kegembiraan melihat tandas-tandas di sekolah akhirnya sedang giat diselenggara dan dinaik taraf. Malah, ada yang berpandangan,

“Jika dipertandingkan, rasa-rasa tandas sekolah kami boleh menang peringkat kebangsaan”.

Kebersihan Secara keseluruhan, memastikan tandas sekolah kekal bersih dan elok bukan hanya berkaitan masalah kesihatan dan kebersihan, tetapi juga mewujudkan lingkungan yang mendukung pendidikan, kesejahteraan dan perkembangan pelajar.

Lantaran itu, menjaga kebersihan dan kemudahan tandas sekolah penting kerana ia menggambarkan aura positif yang signifikan dengan pelajar, staf sekolah termasuk ibu bapa.

Tandas yang bersih diyakini akan membantu mencegah penyebaran penyakit dan infeksi.

Pelajar yang menggunakan tandas yang bersih akan terhindar daripada risiko penyakit.

Selain itu, menjaga tandas agar kekal bersih juga dapat menjadi pelajaran kepada pelajar tentang pentingnya kebersihan dan tanggungjawab individu terhadap kebersihan di sekitarnya.

Tandas yang kotor dan tidak terawat dapat mewujudkan ketidaknyamanan psikologi.

Pelajar mungkin berasa tidak selesa ketika menggunakan tandas.

Jika terpaksa menahan kencing dan air besar, mungkin akan menyebabkan kesakitan kepada pelajar.

Malah, tandas yang bersih dan baik kemudahannya, akan dapat mengelakkan vandalisme.

Vandalisme ini berlaku disebabkan rasa marah dan geram apabila tombol paip atau pintu tandas tidak berfungsi dengan baik.

Apa-apa pun, banyak tanda sekolah kini sudah setaraf tandas hotel.

Jadi, pelajar perlu menjaga kemudahan ini sebaik mungkin. Elakkan vandalisme!

BERITA LAIN

Bina impian anak Sarawak

SETIAP kali Belanjawan Sarawak dibentangkan, perhatian masyarakat lazımnya tertumpu pada angka peruntukan, projek pembangunan dan pelan ekonomi negeri. Namun, ukuran sebenar kejayaan sesebuah belanjawan bukan

Pemain bintang dunia warnai bola sepak S’wak

KEHADIRAN bekas bintang kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid, Asier Illarramendi, bersama kelab Hong Kong, Kitchee SC ke Kuching cukup mengujakan ribuan peminat bola sepak di

BERITA TERBARU