KUCHING: Pendekatan menangani ancaman dadah perlu dilaksanakan secara tegas dan menyeluruh dengan membezakan anggota sindiket yang terlibat aktif dalam kegiatan jenayah dengan individu yang mengalami masalah ketagihan serta memerlukan rawatan dan pemulihan.
Pengerusi One Stop Committee Menangani Isu Dadah dan Substance Sarawak (OSC MIDS), Datuk Sri Fatimah Abdullah berkata, dalang, pengedar, penyeludup dan pengilang dadah yang menjadikan kegiatan itu sebagai sumber keuntungan perlu dikenakan tindakan penguatkuasaan sewajarnya.
Pada masa sama, katanya, individu yang mengalami masalah penggunaan bahan atau ketagihan perlu diberikan akses kepada rawatan, sokongan dan pemulihan bagi membantu mereka kembali menjalani kehidupan lebih baik.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak itu berkata, beliau menghormati bidang kuasa serta pertimbangan pihak berkuasa dalam menentukan peruntukan undang-undang yang bersesuaian berdasarkan fakta, bukti dan keadaan setiap kes.
Usaha menangani masalah dadah tidak boleh bergantung kepada penguatkuasaan semata-mata, sebaliknya perlu merangkumi pencegahan, pendidikan, rawatan dan pemulihan secara bersepadu.
“Semua agensi berkaitan diminta memperkukuh kerjasama, perkongsian maklumat dan penyelarasan operasi supaya tindakan terhadap sindiket dadah dapat dilaksanakan dengan lebih pantas, tepat dan berkesan,” katanya.
Pendekatan itu penting bagi memutuskan rangkaian bekalan dan pengedaran dadah, selain mengurangkan permintaan serta mencegah ketagihan berulang.
Beliau turut menegaskan ketegasan dalam penguatkuasaan perlu disertai pendekatan berasaskan bukti dan berperikemanusiaan bagi memastikan individu yang terjejas akibat ketagihan tidak dinafikan peluang mendapatkan bantuan.
“Kita tidak boleh membenarkan sindiket yang mengeksploitasi masyarakat, merosakkan generasi muda dan mengaut keuntungan daripada penderitaan orang lain berkembang di negeri ini,” katanya.
Justeru, Fatimah berkata, OSC MIDS akan terus menyokong usaha Kerajaan Sarawak bersama agensi penguatkuasaan, kesihatan, organisasi masyarakat sivil dan pihak berkepentingan bagi memastikan isu dadah dan penggunaan bahan ditangani secara tegas, bersepadu dan berterusan.





