Tangani salah laku pelajar

LUBOK ANTU: Sekolah Kebangsaan (SK) Skarok berjaya melancarkan Program Jom Ke Sekolah 2020 dalam usaha menangani permasalahan disiplin dan salah laku murid.

Guru Besar SK Skarok Kulok Laga berkata, program itu merupakan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan PDRM.

“Objektif program adalah untuk mewujudkan hubungan mesra dan kolaborasi yang lebih mantap pihak sekolah dengan pihak Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS). “Ia juga dapat membantu mencegah salah laku disiplin murid sekolah daripada terlibat dalam kegiatan jenayah dan perlakuan yang menyalahi undang-undang serta tidak bermoral sama ada di dalam atau luar sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa pelancaran Program Jom Ke Sekolah 2020 di Dewan Pemancha Manau di sini, semalam.

Tambah Kulok, penglibatan pihak polis dalam kawasan sekolah adalah melalui PPS di semua sekolah KPM. “Saya berharap dengan adanya PPS di sekolah, disiplin pelajar dapat dikawal dan dipantau,” ujarnya.

Perutusan Ketua Polis Negara telah dibacakan oleh Koperal Philip Jagok, manakala perutusan Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia dibacakan oleh Sylvia Tugan. Turut hadir ialah Penolong Kanan 1 John A/L Kedebo, PPS Koperal Rajis Abdul Mohd dan PPS Koperal Philip Jagok.

Suara Sarawak