SARIKEI: Industri nanas Sarawak dijangka berkembang pesat apabila Tanjung Manis bakal dijadikan hab utama pengeluaran dan eksport nanas berskala besar, susulan minat yang semakin meningkat daripada pelabur asing.
Pengarah Urusan JG Sarava Sdn Bhd (JGS), Datuk Jeyarajan Sri Ramalu berkata, syarikatnya merancang membina loji pemprosesan nanas berteknologi tinggi di Tanjung Manis yang mampu mengubah landskap pertanian Sarawak.
“Apabila kilang ini beroperasi, penanam nanas dari Kuching hingga ke Limbang akan mempunyai pembeli tetap.
Tidak perlu lagi bergantung kepada gerai tepi jalan atau pasar raya.
“Mereka hanya perlu menghantar hasil tuaian ke Tanjung Manis dan kami akan uruskan selebihnya,” katanya pada sidang media selepas sesi persidangan bersama pelabur bagi projek itu, hari ini.
Ketika ini, Sarawak hanya menghasilkan kira-kira 15 tan nanas sehari, berbanding keperluan JGS sebanyak 50 tan sehari. Namun, beliau melihat jurang itu sebagai peluang besar.
“Inilah masa terbaik untuk melabur dalam sektor penanaman nanas.
Dalam satu hingga dua tahun, saya yakin industri nanas Sarawak mampu mengatasi pencapaian di Semenanjung Malaysia,” katanya optimis.
Jeyarajan turut mendedahkan, JGS berjaya memperoleh pelaburan RM1 bilion daripada sebuah syarikat pelaburan terkemuka dari India.
“Delegasi pelabur telah diberi taklimat mengenai perancangan kami dan maklum balas mereka amat positif. Mereka akan melawat tapak projek di Tanjung Manis untuk melihat sendiri visi kami,” jelasnya.
Beliau berkata, kelebihan utama Sarawak ialah kewujudan Lebuhraya Pan Borneo yang meningkatkan konektiviti wilayah dan mengurangkan kos pengangkutan hasil pertanian.
“Dengan infrastruktur semakin baik dan keyakinan pelabur tinggi, Tanjung Manis berada di landasan tepat untuk muncul sebagai ibu kota nanas di rantau ini,” ujarnya.
Menurutnya, JGS juga bersedia menjalin kerjasama strategik dengan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan bagi memastikan projek ini berjaya dilaksanakan.
Usaha ini selari dengan aspirasi kerajaan memperkukuh sektor agromakanan negara melalui penglibatan sektor swasta dan pelaburan asing.





