BETONG: Keperluan menaik taraf Politeknik METrO Betong Sarawak (PMBS) kepada sebuah politeknik konvensional dilihat semakin mendesak demi memastikan akses pendidikan yang lebih adil kepada masyarakat luar bandar khususnya di Sarawak.
Ahli Parlimen Betong Datuk Dr. Richard Rapu berkata, beliau menghargai usaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memperluaskan akses Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di seluruh negara.
Bagaimanapun menurut beliau, pelaksanaan model Politeknik METrO di Betong tidak selari dengan realiti geografi dan demografi kawasan luar bandar di Sarawak.
“Sehubungan itu saya bangkit di bawah Peraturan Mesyuarat 17 untuk mengemukakan satu perkara yang khusus, mendesak dan berkepentingan awam berhubung keperluan menaik taraf PMBS kepada sebuah politeknik konvensional sepenuhnya bagi menjamin ekuiti pendidikan serta masa depan anak-anak luar bandar di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan perkara itu pada sesi Kamar Khas bersama-sama Kementerian Pendidikan Tinggi di Parlimen semalam.
Beliau menjelaskan PMBS kini beroperasi sebagai institusi tanpa kemudahan asrama iaitu satu model yang lebih sesuai dilaksanakan di kawasan bandar yang mempunyai sistem pengangkutan awam yang baik serta akses yang mudah.
“Sebaliknya di Betong taburan penduduk yang berselerak serta kedudukan rumah panjang yang jauh menjadikan model ini kurang praktikal dan akhirnya mengehadkan akses pendidikan kepada golongan sasaran.
“Ketiadaan kemudahan asrama memberikan kesan langsung kepada pelajar luar bandar yang tidak mampu menanggung kos sewaan rumah dan pengangkutan harian.
“Akibatnya ramai pelajar yang layak terpaksa menolak tawaran untuk melanjutkan pengajian,” ujarnya.
Beliau turut menyatakan PMBS berdepan dengan kekangan untuk berkembang dari segi penawaran program teknik ekoran keterbatasan struktur serta kemudahan sedia ada.
“Malah lebih mendukacitakan apabila tapak tanah bagi pembangunan sebuah politeknik konvensional di Betong sebenarnya telah dikenal pasti dan tersedia namun sehingga kini masih belum dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya lagi.
Menurut beliau, pelaburan dalam pembangunan TVET di Betong tidak seharusnya dilihat sebagai beban kewangan sebaliknya merupakan pelaburan strategik bagi memperkukuh pembangunan modal insan serta memastikan keadilan pembangunan wilayah.
“Anak-anak luar bandar tidak seharusnya terus dipinggirkan hanya kerana dasar yang tidak mengambil kira realiti di lapangan,” tegasnya.
-Tamat//



