KUCHING: Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) dijangka tidak terjejas secara signifikan susulan langkah tarif baharu oleh Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPHB, Ruslan Abdul Ghani berkata, syarikat itu kebanyakannya mengeksport produk seperti minyak sawit mentah (CPO) ke pasaran India, China dan beberapa bahagian di Afrika, tanpa sebarang urus niaga langsung dengan AS.
“Harapnya, kesan kepada kita (BPHB) adalah minimum.
“Namun, masih terlalu awal untuk membuat penilaian menyeluruh kerana kemungkinan akan ada kesan langsung dan tidak langsung. Kami sedang menilai kesan keseluruhannya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-29 BPHB dan majlis ‘Berjarah Raya’ yang diadakan di sini, hari ini.
Mengulas unjuran hasil tahun ini, Ruslan menjangkakan pendapatan kekal stabil atau lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.



