KUCHING: Malaysia dalam misi meneroka pelbagai peluang ekonomi dan menarik pelaburan baharu pada Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) di Riyadh, Arab Saudi yang berlangsung selama lima hari bermula semalam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata delegasi Malaysia pada mesyuarat itu juga berkongsi dasar dan hala tuju negara, di samping menegaskan pendirian negara dalam isu geopolitik serantau di hadapan pemimpin dunia.
“Insya-Allah bermula hari ini, saya bersama menteri-menteri kanan serta delegasi Malaysia yang lain menghadiri persidangan serta mengadakan beberapa pertemuan penting bersama-sama dengan pemimpin dunia dan ketua korporat global.
“Pertemuan dan persidangan ini antara lain menyentuh perkara terkait kepentingan negara, bermula dengan sesi Plenari Pembukaan bertemakan ‘Visi Baharu Pembangunan Global’, iaitu saya menyampaikan ucapan,” katanya menerusi Facebook.
Anwar, yang tiba di Riyadh pada 10.25 malam semalam waktu tempatan atau 3.25 pagi Ahad waktu Malaysia, turut memohon doa buat kejayaan delegasi Malaysia dalam misi tersebut.



