AKTIVITI EKONOMI dan keusahawanan penduduk kampung mampu dibangun dan diperkasa melalui pembangunan Projek Ekopelancongan Burung Walit Kampung Merembeh.
Projek tersebut membuka peluang pekerjaan baharu dan meningkatkan pendapatan penduduk Kampung Merembeh.
Ahli Dewan Undangan Negeri Serembu, Miro Simuh memaklumkan, koperasi Kampung Merembeh memenangi Pertandingan Desa Lestari Peringkat Kebangsaan 2022 dan menerima geran sebanyak RM750,000 daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Kelulusan komponen projek ujarnya adalah untuk membiayai kos pembinaan, pembekalan peralatan dan kenderaan termasuk kos operasi serta pemasaran produk.
Menurut beliau, terdapat tiga aktiviti utama yang diketengahkan iaitu Projek Ekopelancongan, Pemprosesan Sarang Burung Walit Liar dan Penternakan Lembu Pedaging.
“Melihat potensi ini, koperasi mengambil inisiatif untuk mengembangkan aktiviti ini seterusnya membangun projek ekopelancongan di kawasan tersebut.
“Ketua Kaum Nohen Nawok dan pasukan beliau bertungkus lumus selama enam bulan menyediakan kertas perancangan untuk memastikan ia memenuhi kriteria dan syarat pertandingan,” ujarnya kepada Suara Sarawak.



