MUKAH: Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) Bahagian Mukah menyasarkan kutipan zakat lebih tinggi berbanding tahun lalu.
Pengurusnya, Osman Immun berkata, jumlah kutipan zakat untuk TBS Bahagian Mukah lebih kurang RM1.7 juta.
“Setiap tahun, memang kita merancang untuk meningkatkan jumlah kutipan dan berharap agar pelanggan mendapat kesedaran mengenai kutipan zakat ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa Hari Bersama Pelanggan TBS Bahagian Mukah dan Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri, di Dewan Seri Pekala, Kampung Kuala Lama, di sini, hari ini.
Katanya, untuk Bahagian Mukah, seramai 12 orang rakan zakat dilantik untuk membantu.
Setiap daerah di Bahagian Mukah mempunyai wakil rakan zakat bagi membantu kutipan tersebut.
Osman turut berkongsi mengenai Bantuan Kasih Baitulmal (BKB), merupakan kerjasama dengan masjid.
“BKB adalah untuk membantu mereka yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan keperluan asas seperti gula, tepung, roti dan sebagainya.
“Bantuan ini bermula sejak Covid-19 dan diteruskan sehingga kini,” jelasnya.
Menyentuh mengenai majlis tersebut, ia bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara TBS Bahagian Mukah dan agensi-agensi lain.
Justeru, beliau berharap kerjasama erat antara semua pihak dapat dikekalkan agar membantu memudahkan aktiviti yang dilaksanakan.



