SERIKIN: Cubaan menyeludup barangan basah sejuk beku bernilai RM380,426.44 ke Indonesia digagalkan selepas sebuah lori lima tan ditahan pasukan operasi TDM kira-kira 800 meter dari sempadan Malaysia-Indonesia, malam tadi.
Menurut kenyataan Divisyen 1 Infantri Malaysia (1 Divisyen), kejadian berlaku kira-kira 7 malam apabila pasukan operasi mengesan sebuah lori lima tan berwarna putih bergerak dari arah laluan haram Kampung Sebobok menuju ke sempadan Malaysia-Indonesia.

“Hasil pemeriksaan mendapati lori berkenaan membawa muatan barangan basah sejuk beku yang ditutup menggunakan kanvas biru.
“Lori berkenaan dipandu seorang warga tempatan dan didapati tidak membawa dokumen perjalanan serta dokumen pengesahan muatan yang sah,” kata kenyataan itu.
Tambah kenyataan berkenaan, antara barangan yang dirampas ialah 300 karton Daging Allana Rumpsteak bernilai RM138,000, 200 karton Honey Chicken Frankfurter bernilai RM108,000 dan sebuah lori Hino 300 XZU600K Euro keluaran 2025 bernilai RM131,600.
Turut dirampas, sebuah telefon bimbit iPhone 13 Pro Max bernilai RM2,500 serta wang tunai berjumlah RM326.44, terdiri daripada Ringgit Malaysia dan Rupiah Indonesia.
“Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM380,426.44,” kata kenyataan berkenaan.
Menurut kenyataan itu, kes berkenaan merupakan Rampasan Barang Bersama Tuan (RBBT) yang ketujuh sejak Januari 2026.
Individu terbabit dan keseluruhan barang rampasan kemudian diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau untuk tindakan lanjut.
Dalam pada itu, 1 Divisyen memaklumkan pasukan yang beroperasi akan terus mempertingkatkan rondaan dan memperkukuh pemantauan bagi memastikan sempadan negara kekal selamat daripada aktiviti jenayah rentas sempadan.



