SRI AMAN: Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Nasional Indonesia (TNI-AD) mengadakan Eksesais KEKAR MALINDO Siri 48AB/2025 di Batalion Ke-13 Rejimen Askar Melayu Diraja (13 RAMD), Kem Pakit di sini.
Latihan bilateral itu melibatkan pasukan 13 RAMD mewakili 3 Briged dan Batalyon Infanteri 641/Beruang (Yonif 641/BRU) mewakili Brigif 19/KH.
Menurut Markas Briged Ketiga Infantri Malaysia (MK 3 Bgd), eksesais itu merupakan latihan tahunan antara TDM dan TNI-AD untuk meningkatkan kerjasama melalui perkongsian ilmu pengetahuan, doktrin serta taktik, teknik dan prosedur dalam operasi infantri.
“Pelaksanaan eksesais bilateral ini selaras dengan Teras Kelima Perintah Ulung PTD Ke-30 iaitu Anjakan Diplomasi Pertahanan yang mempertingkatkan usaha dalam aspek latihan bersama negara-negara sahabat,” katanya menerusi satu kenyataan.
Upacara pembukaan eksesais itu turut disempurnakan oleh Panglima Briged Ketiga Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Khairuddin Zakaria dan Komandan Briged Infantri 19/Khatulistiwa (Danbrigif 19/KH) Kolonel Infanteri Misael Marthen Jenry Polii.
Eksesais yang berlangsung selama 10 hari itu melibatkan fasa kelas teori, latihan silang dan latihan medan FTX (CIW) di kawasan am Bayai, di sini.






