TEATER Ayang Ayang bakal dipentaskan pada 2 November ini, jam 8.00 malam di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak.
Persembahan ini dijangka menjadi antara pementasan paling dinanti-nantikan tahun ini, menggabungkan elemen mistik, tradisi dan nilai kemanusiaan dalam satu naskhah yang sarat makna.
Menurut Pegawai Publisiti dan Promosi Teater Ayang Ayang, Dayang Aiza Hamizah Awang Ali, inspirasi utama karya ini lahir daripada keinginan untuk menyingkap sisi gelap manusia yang sanggup menggadaikan prinsip serta kebenaran demi kuasa dan keuntungan.
“Mengangkat tema mistik, Ayang Ayang menggali kepercayaan masyarakat terhadap ilmu hitam dan bahaya apabila ia disalahgunakan.
“Melalui jalan cerita yang penuh konfl ik dan simbolisme, teater ini mengingatkan penonton bahawa setiap perbuatan yang menentang fi trah dan takdir akan membawa kepada kehancuran,” ujarnya kepada Suara Sarawak.
Tambahnya, barisan pelakon yang menjayakan Ayang Ayang terdiri daripada nama-nama hebat dunia teater tempatan seperti Hazis Wahab, Jacqueline Prisca, Hanee Saeroja, Edry Ermi, Alif Ismawi dan Mezam Melian.
“Keterlibatan Hazis Wahab sebagai pelakon utama dan tunjang Persatuan Grup Teater Ngoncong menjadi tarikan utama teater ini. Gabungan pelakon berpengalaman dan pelakon baharu menjanjikan persembahan yang segar, penuh emosi dan bertenaga.
“Salah satu faktor yang menjadikan Ayang Ayang wajib ditonton ialah konsep mistiknya yang unik.
Penonton bakal menyaksikan penggunaan kesan khas yang lazimnya hanya dilihat dalam fi lem layar perak, namun kali ini dibawa secara langsung ke pentas teater,” ujarnya lagi.
Keberanian produksi ini bereksperimen dengan elemen isual dan bunyi, jelasnya, menjadikan Ayang Ayang sebuah pengalaman teater yang luar biasa dan sukar dilupakan.
“Mesej utama yang ingin disampaikan kepada penonton ialah tentang ketentuan takdir.
Dalam apa-apa jua keadaan, manusia tidak seharusnya menentang takdir Ilahi.
“Kita merancang, Allah juga merancang, dan sesungguhnya perancangan Allah itulah yang terbaik. Inilah inti pati yang ingin ditanam dalam jiwa setiap penonton agar sentiasa reda, bersyukur dan tidak mudah terpedaya dengan jalan pintas duniawi,” katanya.
Harapan besar diletakkan agar teater tempatan Sarawak terus berkembang maju.
Teater bukan sekadar hiburan, tetapi juga medium penyampaian mesej, nilai moral dan budaya yang tinggi. Sudah tiba masanya teater diberi perhatian dan peruntukan yang mencukupi agar karya anak tempatan terus hidup dan dihargai. Dengan sasaran seramai 400 penonton, Ayang Ayang menawarkan tiket berharga RM10 sahaja.
Tiket boleh didapati melalui laman Facebook Persatuan Grup Teater Ngoncong atau dengan menghubungi 010-388 4271 (Nady). Jangan lepaskan peluang menyaksikan keajaiban dunia mistik di pentas sebenar!



