KUALA LUMPUR: Pementasan teater Impian di Ambang Waktu menampilkan kelainan apabila skrip asal diolah bagi menyerlahkan bakat pelatih guru daripada golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
Penulis skrip dan pengarahnya, Subroto Katimin, berkata beberapa watak diubah dan ditambah mengikut keupayaan pelakon OKU, sekali gus menjadikan pementasan itu lebih unik tanpa menjejaskan jalan cerita asal.

Beliau berkata latihan dijalankan menggunakan pendekatan berbeza mengikut kemampuan setiap pelakon, manakala skrip disiapkan dalam tempoh sebulan selepas melalui kajian berkaitan penyakit, perubatan moden, rawatan Islam dan perbomohan.

Penyelaras pementasan Haslinaz Hanapi berkata pelatih guru inklusif berjaya menghayati watak serta menghafal skrip dalam tempoh singkat walaupun perlu menyeimbangkan latihan dengan jadual kuliah.
Menurut Bernama, pementasan melibatkan 42 peserta termasuk enam pelatih guru inklusif sebagai pelakon dan berlangsung pada 17 serta 18 Julai di Dewan Dato’ Razali Ismail, Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas (IPGKIK).



