KUCHING: Teater tragedi ekologi Gema Rajang bakal dipentaskan sebagai salah satu acara rasmi dalam kalendar festival seni antarabangsa What About Kuching (WAK) 2026 pada 3 dan 4 Oktober ini.
Pementasan teater anjuran Persatuan Seni Kreatif Sifar Sarawak 2020 (SIFAR) itu akan berlangsung di Auditorium Borneo Cultures Museum (BCM), Kuching.
Pengarah dan penulis teater, Dr Safian Bujang berkata, Gema Rajang membawa penonton mengenali proses pembuatan kain Pua Kumbu yang bergantung sepenuhnya kepada ekosistem hutan.
“Melalui teater itu, kami membawa penonton mengenali proses pembuatan kain Pua Kumbu yang bergantung sepenuhnya kepada ekosistem hutan, seperti pencarian akar engkudu untuk menghasilkan warna merah dan kulit kayu samak untuk warna tanah organik,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut beliau, satu lagi tarikan utama pementasan berkenaan ialah pengenalan kepada ritual kematian mistik masyarakat Iban, iaitu Sabak atau Nyabak.
“Kami menginovasikan puisi ratapan ini ke dalam acuan kontemporari.
Alunan suara Tukang Sabak yang meleret dan hiba digabungkan bersama skor muzik etno-fusion secara langsung yang diadun dengan frekuensi rendah synthesizer moden,” jelasnya.
Tiket Gema Rajang kini dibuka untuk jualan pada harga RM20 bagi orang awam dan RM15 untuk pelajar.
Orang ramai boleh membuat tempahan secara dalam talian melalui laman web Cloudjoi di Cloudjoi – Gema Rajang.
Maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi media sosial rasmi SIFAR di Facebook SIFAR dan TikTok SIFAR.
Kapasiti tempat duduk di Auditorium Borneo Cultures Museum adalah sangat terhad dan orang ramai digalakkan membuat tempahan awal.



