ARTIKEL

Teater mati ajak audiens renungi hakikat kehidupan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SETIAP yang hidup, pasti merasai kematian bahkan tidak ada seorang pun dalam kalangan yang bernyawa terlepas daripada kematian.

Inilah persoalan yang cuba disampaikan oleh penulis Abdullah Zainol menerusi karya beliau dalam naskhah Mati yang dipentaskan pada 23 September 2023 di Balai Budaya, Dewan Bahasa Dan Pustaka Cawangan Sarawak (DBPCS).

Pada usia 22 tahun, pengarah muda Aideil Ikhwani Abdillah menerusi pementasan teater berjudul Mati menanggapi secara serius persoalan tentang kematian sebagai suatu hal yang perlu dan wajar direnungi setiap orang.

“Keinginan mengejar kebahagiaan dan kemewahan hidup kadangkala mengkhayalkan dan melenakan manusia daripada memikirkan soal kematian.

“Sering kita bersua dengan kejadian manusia kurang bersedia menghadapi kematian.

“Memang sudah menjadi resam alam, setiap yang hidup pasti mati akhirnya dan kematian itu kadang-kadang datang secara tiba-tiba dan tidak boleh dielakkan,” katanya kepada Suara Sarawak.

Tambahnya, teater yang berlangsung satu jam ini penuh dengan unsur nasihat, mesej dan pengajaran buat penonton agar tidak terjebak dengan perkara yang tidak baik demi keharmonian hidup. 

“Segala mesej yang disampaikan penuh dengan teguran, sindiran dan membawa kita kembali merenung kehidupan sebenar secara tidak langsung memberi pengajaran.

“Hari ini kita masih hidup dan menikmati kehidupan itu dengan penuh nikmat.

Esok atau lusa kita tidak tahu, kita pasti mati,” jelasnya.

Menurut Aideil, pengarahan teater Mati ini memberi pengalaman baharu buatnya kerana membentuk barisan pelakon muda yang tiada pengalaman dalam bidang teater dengan pemikiran seberat ini bukanlah hal mudah.

“Sebagai orang baharu di pentas teater, Alif Syazwan (watak Hassan) dan Aziq Nabihan sebagai Firon menghidupkan permainan lakon yang menarik dan meyakinkan sepanjang teater Mati berlangsung.

“Syukur Alhamdulillah… pementasan teater Mati berjalan dengan jayanya serta mendapat respons yang sangat positif daripada penonton,” jelasnya.

Bagaimanapun, Aideil akui dia berdepan dengan cabaran dari segi masa iaitu waktu latihan yang agak singkat kerana tarikh pementasan hampir sama dengan pementasan Jebat Tak Mati sebelum ini.

“Malah, pelakon juga dilihat berusaha keras menghafaz dialog yang agak panjang dan memerlukan stamina tinggi untuk terus bertahan di pentas.

“Namun, berkat kesabaran setiap pelakon, hal ini dapat diatasi dengan jayanya.

Khalayak umumnya menunjukkan respons memberangsangkan, tiada kelihatan penonton keluar masuk dewan sewaktu pementasan berlangsung, semua yang hadir memberikan tumpuan sepenuhnya di pentas teater,” ujarnya.

Aideil memberitahu, kira-kira 300 penonton hadir menyaksikan teater pada malam tersebut.

Khalayak yang hadir terdiri daripada pelajar Institut Pendidikan Guru, Kampus Batu Lintang, pelajar Universiti Malaysia (Unimas) dan kolej Sidma Sarawak serta aktivis teater tempatan.

Dalam pada itu, Aideil turut menzahirkan penghargaan tidak terhingga kepada pihak yang menghulurkan dana bagi menjayakan pementasan ini, khususnya kepada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Sarawak (JKKNS).

Tidak lupa juga, Aideil memaklumkan terdapat dua lagi program yang ditetapkan dalam kalendar aktiviti Studio Mimpi yang menemui peminat teater dan aktivis teater di sekitar bandar raya Kuching iaitu Bengkel Teater Kanak-Kanak dan Bengkel Pemerkasaan Bakat Lakon pada penghujung Oktober.

Turut hadir Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sarawak, Noor Seela Noor Sulaiman. 

BERITA LAIN

SEMAKIN DIGITAL, semakin selamatkah kita?

TEKNOLOGI digital dan kecerdasan buatan (AI) kini berkembang dengan begitu pesat dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat. Namun, di sebalik kemudahan yang dinikmati untuk bekerja, belajar

KESIHATAN nikmat tidak ternilai

KESIHATAN merupakan antara nikmat terbesar yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia. Dengan tubuh yang sihat, seseorang dapat melaksanakan ibadah, mencari rezeki, menuntut ilmu dan

BERITA TERBARU