ARTIKEL

Tebedu, Serian catat IPU sangat tidak sihat

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Dua kawasan di Sarawak mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap sangat tidak sihat setakat jam 4.00 petang hari ini, dengan Tebedu merekodkan bacaan tertinggi iaitu 214, diikuti Serian dengan bacaan 201.

Data yang dikeluarkan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak menunjukkan sebahagian besar kawasan lain di negeri ini masih berada pada kategori tidak sihat, menandakan keadaan jerebu yang berterusan di beberapa bahagian.

Selain itu, kawasan yang mencatat bacaan tidak sihat ialah Samarahan (178), Kuching (177), Lubok Antu (165), Sarikei (160), Sri Aman (157), Bintulu (153), Miri (151), Sibu (124), Lundu (111), Samalaju (110) dan Lawas (102).

Sementara itu, lima kawasan merekodkan bacaan sederhana iaitu Mukah (97), ILP Miri (92), Limbang (78), Kapit (67) dan Bario (64).

Keadaan jerebu yang semakin meruncing di Tebedu turut menyebabkan enam sekolah di kawasan tersebut ditutup sementara hari ini, selepas bacaan IPU melepasi paras 200, selaras dengan garis panduan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Bacaan IPU antara 201 hingga 300 dikategorikan sebagai sangat tidak sihat dan boleh menjejaskan kesihatan orang ramai, khususnya golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas, wanita hamil serta individu yang mempunyai penyakit pernafasan dan jantung.

Orang ramai dinasihati mengurangkan aktiviti luar, memakai pelitup muka yang sesuai serta mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami gejala seperti sesak nafas, batuk berterusan atau iritasi pada mata dan tekak.

NREB Sarawak akan terus memantau perkembangan kualiti udara di seluruh negeri dan mengemas kini bacaan IPU dari semasa ke semasa.

BERITA LAIN

Maklumat dasar kerajaan perlu sampai ke akar umbi

BINTULU: Penyampaian maklumat mengenai dasar, inisiatif pembangunan dan bantuan kerajaan perlu diperluas hingga ke peringkat akar umbi bagi memastikan rakyat mengetahui serta dapat memanfaatkan kemudahan

BERITA TERBARU