MUKAH: Pembinaan Tebingan Sungai Mukah baharu sedang dilaksanakan di bawah Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) sebagai usaha meningkatkan infrastruktur di sini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, projek dianggarkan bernilai sebanyak RM60 juta itu kini sedang dalam peringkat reka bentuk.
Katanya, Kerajaan Sarawak berani memperuntukkan dana sebanyak RM1.5 bilion kepada RADDA susulan kejayaan dalam pertumbuhan hasil dan ekonomi sejak empat tahun lalu.
“Alhamdulillah dalam masa empat tahun kita dapat menambah pendapatan negeri melalui pendekatan dilaksanakan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS),” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Kaul Mukah 2023 di Pantai Kala Dana di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Sarawak berjaya memecah rekod apabila berjaya mencapai pendapatan hasil negeri sebanyak RM12 billion.
Susulan itu, beliau berharap agar pencapaian tersebut dapat diteruskan, malah meningkat tahun ini supaya dapat mengembangkan ekonomi rakyat sekali gus meningkatkan pendapatan mereka.
Pada masa sama, Abang Johari turut memberitahu sebanyak 60 projek bernilai lebih RM1 bilion bakal dilaksana oleh RADDA bagi memacu pembangunan di kawasan Delta Rajang termasuk Mukah.



