KUCHING: Dalam usaha memperkukuh bakat kreatif digital tempatan, Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) sekali lagi menganjurkan Program Latihan Grafik Gerak Unreal Engine 2025 dari 11 hingga 15 Ogos ini di Perkampungan Digital TEGAS (TDV).
Program lima hari itu menyasarkan penggiat kreatif muda di Sarawak yang ingin menguasai kemahiran dalam penciptaan kandungan visual secara masa nyata (real time) menggunakan perisian animasi bertaraf dunia, Unreal Engine.
Pengerusi TEGAS merangkap Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh menyifatkan program ini sebagai pelaburan strategik untuk memperkukuh kedudukan Sarawak dalam industri kreatif digital.
“Kami mahu anak muda Sarawak bersedia menembusi pasaran kerja global. Dengan kemahiran yang setanding piawaian antarabangsa, mereka mampu mencipta peluang dalam filem, pengiklanan, permainan video dan media imersif,” katanya dalam kenyataan.
Program ini merupakan kesinambungan daripada kejayaan edisi sulung pada 2024 yang menerima sambutan luar biasa daripada peserta.
Penganjuran tahun ini membawa pendekatan lebih mendalam dengan memberi fokus kepada kemahiran dalam animasi 2D dan 3D; reka bentuk grafik gerak; animasi kamera dan peleraian masa nyata, sekali gus melengkapkan peserta dengan keupayaan industri sebenar yang semakin berkembang dalam bidang kandungan digital.
Program ini dianjurkan dengan kerjasama EFXCO Academy, sebuah Pusat Latihan Sah Unreal Engine, serta Borneo Digital dan dikendalikan oleh tenaga pengajar bertauliah yang pernah terlibat dalam projek bertaraf Oscar seperti Life of Pi dan X-Men: First Class.
Ketua Pegawai Eksekutif EFXCO Academy, Hussin Khan turut menyuarakan keyakinan terhadap potensi program ini yang semakin mendapat tempat dalam kalangan belia.
Beliau berkata grafik gerak kini menjadi antara bidang paling pesat berkembang, khususnya dalam sektor pengiklanan, media penyiaran, realiti maya dan naratif imersif.
“Dengan keupayaan masa nyata Unreal Engine, penghasilan kandungan visual dapat dilakukan dengan lebih efisien dan berkualiti tinggi. Ini membuka ruang besar kepada pencipta kandungan untuk mempercepat proses kerja mereka,” ujarnya.
Beliau turut berkongsi bahawa minat dalam kalangan belia Sarawak terhadap animasi dan penciptaan kandungan digital semakin meningkat, dan program ini memberi peluang latihan praktikal yang sangat diperlukan, bukan sahaja untuk mengasah kemahiran teknikal, tetapi juga membina keyakinan dan jaringan dalam industri.
“Penyertaan program adalah terhad dengan keutamaan diberikan kepada peserta daripada komuniti yang kurang diwakili atau mereka yang menghadapi kekangan kewangan. Peserta yang berjaya menamatkan kursus akan menerima sijil kehadiran rasmi yang diiktiraf oleh komuniti Unreal Engine antarabangsa,” katanya.
Maklumat lanjut dan pendaftaran boleh didapati melalui laman pautan rasmi: bit.ly/UnrealEngineKch






