ARTIKEL

Len (tengah) melancarkan Inisiatif Digital dan Hijau SFC sambil disaksikan tetamu lain.

Teknologi AI bantu kenal pasti spesies orkid liar

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pelancaran aplikasi FORESIGHT.AI membuka pendekatan baharu dalam menyokong perlindungan biodiversiti di Sarawak dengan memanfaatkan kecerdasan buatan bagi pengecaman spesies, khususnya orkid liar secara lebih tepat dan efisien di lapangan.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, inisiatif tersebut merupakan pendekatan yang baik untuk membantu masyarakat mengenal pasti spesies orkid agar dapat bertindak memelihara spesies berkenaan.

Len (ketiga kanan) menguji aplikasi pengenalpastian orkid di pameran sambil disaksikan Pengurus Besar SFC, Abang Arabi Abang Aimran dan Wilfred Yap.

“Mereka boleh bertindak menyelamat dan memelihara spesies ini agar dapat terus dipertahankan untuk masa akan datang.

“Lebih penting, aplikasi ini juga berintegrasi dengan ekosistem digital Sarawak melalui Sistem Maklumat Sarawak Sdn. Bhd. (SAINS) dan Pusat Data Negeri.

“Justeru, ia selaras dengan aspirasi kita ke arah dasar berpaksikan data, sistem saling kendali serta tadbir urus alam sekitar yang pintar,” katanya ketika berucap merasmikan Program Inisiatif Digital dan Hijau SFC di Wisma Lestari, Pejabat Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), di sini, hari ini.

Menurutnya, pendekatan teliti dan berpandangan jauh yang diperjuangkan oleh Persatuan Orkid Sarawak (SARORSO) amat selari dengan tujuan FORESIGHT.AI, iaitu menggunakan data, perancangan dan inovasi untuk menjangka cabaran serta melindungi warisan semula jadi negeri.

“Dengan menggabungkan kepakaran SARORSO dalam memelihara spesies orkid yang sensitif bersama keupayaan teknologi FORESIGHT.AI, SFC bukan sahaja dapat mempertingkat usaha pemuliharaan biodiversiti, malah memperkukuh pengurusan hutan secara menyeluruh.

“Inisiatif ini membuktikan bahawa tradisi, sains dan inovasi boleh bergerak seiring dalam memastikan alam sekitar Sarawak terus terpelihara untuk generasi akan datang.

“Justeru, kita merakamkan penghargaan kepada Pengerusi SARORSO Tengku Dr Auvaroza T. A. Ikhwan Zaidel atas kepimpinan berwawasan dalam pemuliharaan orkid,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi penyelidikan, rakan industri, organisasi berasaskan komuniti serta pihak berkepentingan lain untuk bekerjasama dengan SFC dalam memperluas dan memperkukuh pelaksanaan FORESIGHT.AI.

Dalam pada itu, katanya, setakat ini sebanyak 500 spesies orkid di Sarawak telah dimuat naik ke dalam sistem berkenaan, manakala terdapat sekitar 1,300 spesies orkid di Borneo.

Mengulas lanjut, katanya, aplikasi yang ditawarkan secara percuma itu turut berperanan menyemai minat dan kesedaran terhadap spesies orkid.

“Masyarakat boleh meneroka dan mengenal pasti pelbagai spesies orkid di persekitaran mereka.

“Seperti pepatah, tidak kenal, maka tidak cinta. Melalui aplikasi ini, minat terhadap orkid, tumbuhan hutan dan biodiversiti secara keseluruhan dapat dipupuk dalam kalangan masyarakat,” ujarnya

BERITA LAIN

Furry Friends Fair pupuk kesedaran kebajikan haiwan

KUCHING: Penganjuran Furry Friends Fair 2026 menjadi platform meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kebajikan haiwan, selain memupuk amalan pemilikan haiwan peliharaan secara bertanggungjawab. Anak Premier Sarawak,

BERITA TERBARU