ARTIKEL

Teknologi AI Bantu Pembelajaran, Peranan Guru Tetap Diutamakan


Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Kemajuan kecerdasan buatan (AI) dalam dunia pendidikan membuka peluang kepada kaedah pembelajaran yang lebih interaktif dan kreatif, namun peranan guru dalam membimbing perkembangan emosi, sahsiah dan kemahiran sosial kanak-kanak perlu terus diberi keutamaan.

ADUN Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, pendidikan awal perlu menekankan pembangunan potensi kanak-kanak secara menyeluruh bagi memastikan mereka bukan sahaja menguasai ilmu pengetahuan, malah memiliki keyakinan diri, kreativiti dan nilai murni.

Beliau berkata penggunaan teknologi digital, termasuk AI, dalam pendidikan kanak-kanak perlu disesuaikan dengan peringkat umur serta dipantau oleh guru dan ibu bapa bagi memastikan teknologi itu dimanfaatkan secara berkesan dalam proses pembelajaran.

Kapitan Toh menyampaikan hadiah kepada salah seorang kanak- kanak yang menyertai
Program Kreatif Pintar Tabika Perpaduan Bahagian Bintulu 2026.

Menurutnya, teknologi seharusnya berfungsi sebagai alat sokongan pendidikan dan bukannya menggantikan interaksi bersemuka yang penting dalam membantu kanak-kanak mempelajari kemahiran komunikasi, kerjasama serta membina hubungan sosial.

“Kanak-kanak masih memerlukan bimbingan, perhatian, kesabaran dan sentuhan manusia. Sebab itu, penggunaan AI dan teknologi mesti dilakukan secara bijak, mengikut kesesuaian umur dan keperluan kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang disampaikan Kapitan Toh Kok Peng pada majlis penangguhan Program Pintar Kreatif Tabika Perpaduan Bahagian Bintulu 2026 di sini, hari ini(Khamis).

Sehubungan itu, Johnny Pang berkata pendekatan pembelajaran yang menggabungkan aktiviti kreatif, interaksi sosial dan penggunaan teknologi secara terkawal dapat mewujudkan persekitaran pendidikan yang seimbang serta memenuhi keperluan perkembangan kanak-kanak.

Beliau turut menyifatkan Program Pintar Kreatif Tabika Perpaduan Bahagian Bintulu sebagai platform untuk mengetengahkan bakat dan kreativiti kanak-kanak menerusi pelbagai aktiviti yang menggalakkan penyertaan aktif, keberanian serta pembinaan keyakinan diri.

Menurutnya, program seumpama itu juga berperanan menyemai semangat perpaduan dan sikap saling menghormati dalam kalangan kanak-kanak daripada pelbagai latar belakang, selaras dengan usaha membentuk masyarakat yang harmoni.

Katanya, penerapan nilai berkenaan sejak peringkat prasekolah penting bagi membentuk generasi muda yang menghargai kepelbagaian budaya serta memahami kepentingan kerjasama dalam kehidupan bermasyarakat.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU