ARTIKEL

Dr Sim menyempurnakan simbolik perasmian Hari Sungai Sarawak 2025 sambil disaksikan Lee Kim Shin (kiri tiga) dan Henry Harry Jinep (kanan tiga) serta tetamu kehormat yang lain.

Teknologi AI dalam pengurusan sungai Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Dengan mengintegrasikan sistem analisis kecerdasan buatan (AI), sungai di Sarawak kini berkembang menjadi sebuah makmal hidup (living laboratory) yang memperkaya penyelidikan, inovasi dan pendidikan berkaitan pengurusan sungai.

Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata inisiatif tersebut termasuk pemasangan sensor digital dan analisis berasaskan AI ke dalam Sistem Bersepadu Sumber Air Sarawak.

“Langkah ini membolehkan keputusan pengurusan sungai dibuat berdasarkan data yang lebih tepat dan menyeluruh.

“Kita turut bekerjasama dengan universiti serta institusi penyelidikan untuk mengumpul data berkaitan kualiti air, pergerakan mendapan dan biodiversiti di 40 lembangan sungai utama,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Premier, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian pada program Hari Sungai Sarawak 2025 bersempena Hari Sungai Sedunia di sebuah hotel di sini.

Mengulas mengenai Hari Sungai Sarawak 2025, Abang Johari menjelaskan bahawa sambutan itu meraikan identiti, warisan dan tanggungjawab bersama untuk memelihara nadi semula jadi yang memberi kehidupan kepada negeri ini.

“Di Sarawak, sungai bukan sekadar tubuh air, ia adalah nadi tamadun yang merakam sejarah, menjana ekonomi dengan membentuk pembangunan negeri serta menyara kehidupan masyarakat,” jelasnya.

Justeru, beliau menegaskan bahawa Kerajaan Sarawak terus melabur dalam infrastruktur air dan pembangunan sungai, termasuk Program Grid Bekalan Air Sarawak bernilai RM10 bilion bagi memperkukuh rangkaian bekalan air dan mencapai 100 peratus akses kepada air terawat menjelang 2030.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) melalui Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (SRB) sedang melaksanakan sistem pengawasan digital dan penjejakan vesel bagi meningkatkan keselamatan serta pengawalseliaan sungai.

“Kita juga menaik taraf pelbagai kemudahan navigasi, menyeragamkan operasi pelabuhan sungai serta mendigitalkan sistem permohonan permit bagi mewujudkan sistem pengangkutan air yang moden, cekap dan selamat,” ujarnya.

Abang Johari menekankan bahawa Kerajaan Sarawak turut meneroka penggunaan kapal hibrid dan elektrik, khususnya bagi perkhidmatan penumpang dan perjalanan jarak dekat di Kuching dan beberapa bandar lain bagi mengurangkan pelepasan karbon serta kos operasi.

Menurutnya, Sarawak juga telah mengaplikasikan pendekatan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM) yang menyelaras penggunaan tanah, pengurusan air dan perlindungan ekosistem di semua lembangan.
“Langkah ini bagi menangani perubahan iklim yang terus memberi cabaran kepada sistem sungai kita melalui corak hujan yang tidak menentu, pemendapan mendakan dan pencemaran,” ujarnya.

Beliau berkata di Kuching, Pelan Mitigasi Banjir Bersepadu Sungai Sarawak telah berjaya mengurangkan kejadian banjir besar dan sistem pengurusan banjir yang sama turut dilaksanakan di Sibu dan Bintulu, dilengkapi sensor hidrologi pintar untuk pemantauan masa nyata.

Beliau turut menekankan bahawa usaha Sarawak selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), khususnya SDG 6 (Air Bersih dan Sanitasi) dan SDG 13 (Tindakan Iklim).

“Kita juga bekerjasama dengan rakan ASEAN untuk berkongsi kepakaran dalam pemulihan sungai, tenaga boleh diperbaharui dan ketahanan menghadapi banjir.

“Sungai tidak mengenal sempadan, justeru respons kita terhadap pemuliharaan sungai dan keselamatan air juga mesti merentasi sempadan, bersifat kolaboratif dan berpandangan jauh,” tegasnya.

BERITA LAIN

Peluang pekerjaan lebih adil untuk semua kaum – Wilfred

KUCHING: Kerajaan Sarawak dicadangkan memperkenalkan Kerangka Kepelbagaian dan Keterangkuman bagi memastikan rakyat daripada semua kaum mendapat peluang yang adil dalam perkhidmatan awam, syarikat berkaitan kerajaan

Wilfred cadang laluan PR untuk pakar strategik Sarawak

KUCHING: Laluan taraf pemastautin tetap (PR) khusus bagi tenaga pakar strategik dicadangkan untuk menarik kepakaran antarabangsa dalam industri utama Sarawak, termasuk hidrogen hijau, kecerdasan buatan

BERITA TERBARU

A. Aida reda filem tiada sambutan

PENERBIT terkenal, Datuk A. Aida menerima dengan hati terbuka hakikat bahawa filem terbitannya, Bisikan Nafsu, tidak mendapat sambutan seperti yang diharapkan selepas mula ditayangkan di

A310 VISION tampil futuristik

ALPINE memperkenalkan A310 Vision, sebuah kereta konsep eksklusif sempena ulang tahun ke-55 pengenalan model kereta sukan A310 pada 1971. Kereta konsep yang dihasilkan dalam satu