KOTA SAMARAHAN: Teknologi baharu hasil kerjasama RISDA dan Lembaga Getah Malaysia (LGM) yang membolehkan susu getah dikeluarkan tanpa torehan konvensional berpotensi meningkatkan pengeluaran sehingga lebih tiga kali ganda.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata teknologi berkenaan kini diberi perhatian sebagai antara usaha meningkatkan hasil serta pendapatan pekebun kecil getah.
Ahli Parlimen Kota Samarahan itu menambah RISDA bukan sahaja memberi tumpuan kepada penanaman semula getah, malah turut melihat aspek harga komoditi dan penggunaan teknologi baharu bagi meningkatkan produktiviti pekebun.
“Teknologi baharu hasil kerjasama RISDA dan LGM yang membolehkan susu getah dikeluarkan tanpa torehan konvensional kini sedang diberi perhatian kerana berpotensi meningkatkan pengeluaran sehingga lebih tiga kali ganda,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program GEMA@KKDW Samarahan 2026 di Halaman Samarahan.
Menurut Rubiah lagi, peningkatan harga getah turut mendorong pemilik kebun di Samarahan mengusahakan semula kebun yang sebelum ini terbiar. “
Di Samarahan sendiri, kita lihat banyak kebun getah yang sebelum ini terbiar mula diusahakan semula susulan peningkatan harga getah yang kini mencecah RM4.20 sekilogram berbanding sekitar RM2 sebelum ini,” jelasnya.
Terdahulu dalam ucapannya, beliau memberitahu Sarawak mempunyai hampir 98,000 pekebun kecil RISDA dan menjadi penyumbang terbesar Program Tanam Semula Getah RISDA 2026 dengan keluasan 1,116.78 hektar, bersamaan 28 peratus daripada keseluruhan pelaksanaan program di negara ini.
Katanya, melalui inisiatif Pembeli Getah Utama, sebanyak 183 tan metrik getah dibeli di Sarawak setakat 31 Julai lalu, dengan Samarahan menyumbang 61.10 tan metrik, kedua tertinggi selepas Betong sebanyak 66.22 tan metrik.
Beliau menjelaskan harga getah yang diterima pekebun turut meningkat daripada sekitar RM2.75 hingga RM2.80 sekilogram kepada harga tertinggi RM4.20 sekilogram, manakala hampir 38,000 hektar kebun getah terbiar masih berpotensi diusahakan semula.
“Fokus kita jelas, tingkatkan pengeluaran, aktifkan semula kebun terbiar, perluaskan pasaran dan pastikan pekebun kecil Sarawak mendapat pulangan yang lebih baik daripada hasil mereka,” katanya.
Selain itu, Rubiah berkata Sarawak mempunyai 31 GIATMARA yang sudah melahirkan kira-kira 26,000 lepasan berkemahiran, manakala kebolehpasaran graduan TVET MARA mencapai 99.2 peratus menerusi lebih 500 kerjasama dengan industri.
Katanya, bidang kemahiran kini merangkumi kimpalan, automotif, elektrikal, E&E, EV serta kimpalan minyak dan gas, dengan potensi pendapatan antara RM3,000 hingga RM6,000 sebulan bagi bidang tertentu.
Dalam bidang keusahawanan pula katanya, seramai 1,156 usahawan Sarawak menerima manfaat sokongan MARA bernilai kira-kira RM33 juta sepanjang 2025, yang menjana RM53.4 juta nilai jualan serta mewujudkan lebih 1,045 peluang pekerjaan.
Sementara itu, beliau berkata FELCRA mengagihkan RM40.25 juta kepada 17,394 peserta di Sarawak sepanjang 2025, manakala di peringkat nasional, agihan keuntungan berjumlah RM632.76 juta direkodkan, iaitu pencapaian terbaik dalam tempoh 15 tahun.



