BINTULU: Penggunaan teknologi baharu menerusi sistem Internet Kebendaan (IoT) dalam industri pertanian dan penternakan mampu memberi impak positif kepada para pengusaha.
Dalam siri lawatan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom, ke Projek Kolam Ikan Air Tawar yang menggunakan sistem tersebut, beliau berkata ia dapat membantu dari segi pengurusan dan pemantauan.
“Sistem Akuakultur Pintar oleh SME Flow Studios itu dapat memantau tahap pH dalam kolam selain kandungan amonia, oksigen dan suhu melalui sensor IoT yang dihubung dengan pangkalan data.
“Selain itu, sistem ini juga dilengkapkan dengan sistem pemberian makanan ikan secara automatik dan ‘aerator’ iaitu sistem kipas air yang berfungsi hasil daripada bacaan data ke atas tahap kandungan pH dalam kolam.
“Teknologi ini mula diguna pakai oleh pemilik kolam, Mendung Nali pada 2023 dengan kos permulaan RM20,000 untuk pemasangan,” katanya.
Berkongsi pengalaman itu, Mendung berkata ketika sambutan Tahun Baharu Cina, dia masih dapat memantau keadaan air kolam ikan walaupun dari jauh.
“Malah, proses memberi makan juga dapat dilakukan menggunakan sistem tersebut menerusi telepon pintar,” jelasnya.
Justeru, Dr Rundi berharap usaha yang dilakukan oleh Mendung dapat dikongsikan dengan golongan muda sebagaii galakan serta dorongan kepada mereka untuk melibatkan diri dalam bidang pertanian moden.






