KOTA SAMARAHAN: Penggunaan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) menerusi Program Impact Digital with Community Tourism (IDCT) 2.0 memperkasa komuniti dalam meningkatkan keterlihatan produk pelancongan tempatan secara lebih kreatif dan berkesan.
Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Fazidah Mustafa berkata, penggunaan teknologi digital dan AI kini menjadi keperluan dalam landskap pelancongan global yang semakin kompetitif.
“Justeru, saya berbangga melihat peserta berjaya mengaplikasikan elemen ini dalam pembangunan kandungan sektor pelancongan yang membuka dimensi baharu dalam mempromosikan produk pelancongan tempatan secara lebih tepat, kreatif serta berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Penutupan Program IDCT 2.0 di Pusat Beli-Belah Summer, di sini, hari ini.

Menurutnya, keistimewaan IDCT 2.0 terletak pada pendekatan inovasi sosial berasaskan teknologi yang membantu komuniti meningkatkan keterlihatan produk, memperluas capaian pasaran serta memperkukuh daya saing ekonomi tempatan, selari dengan Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Hasil pelibatan 115 mahasiswa daripada 23 institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) di seluruh Malaysia, IDCT 2.0 berjaya memanfaatkan sekurang-kurangnya 23 produk pelancongan komuniti yang mengetengahkan keunikan budaya, warisan, alam semula jadi serta produk tempatan Malaysia.
“Kesemua produk ini turut dipromosikan melalui 23 platform digital komuniti bagi memastikan produk dan destinasi pelancongan komuniti terus dipasarkan serta diperkasakan selepas program ini berakhir,” jelasnya.
Beliau menambah, kejayaan terbesar program itu tidak hanya diukur melalui jumlah produk atau platform digital yang dibangunkan.
“Sebaliknya, kejayaan sebenar terletak pada pembentukan mahasiswa yang memiliki ciri usahawan sosial dan mampu menggabungkan ilmu, kreativiti, teknologi serta inovasi untuk memberi impak positif kepada komuniti,” ujarnya.

Mengulas lanjut, katanya, IDCT 2.0 menjadi contoh pelaksanaan pemindahan ilmu secara langsung daripada IPTA kepada komuniti melalui pelibatan aktif mahasiswa, selari dengan peranan institusi pendidikan tinggi sebagai pusat pemindahan ilmu yang memberi manfaat kepada komuniti setempat.
“Melalui program ini, mahasiswa didedahkan kepada cabaran sebenar yang dihadapi komuniti terpilih, seterusnya menggunakan teknologi digital sebagai instrumen penyelesaian kepada cabaran yang dikenal pasti.
“Proses pembinaan ilmu ini juga tidak berlaku di dalam bilik kuliah semata-mata, sebaliknya dibawa secara langsung kepada komuniti setempat yang memerlukan sokongan untuk meningkatkan daya saing dalam era ekonomi digital,” tegasnya.
Ujarnya, pelaksanaan IDCT 2.0 turut selaras dengan Aspirasi Pendidikan Tinggi Negara 2026-2035 yang menekankan pembangunan graduan berpaksikan kemানুsiaan, inovatif, adaptif dan bersedia mendepani cabaran masa hadapan.
“IDCT 2.0 turut merealisasikan Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pengajian Tinggi 2026-2030 yang bermatlamat melonjakkan keusahawanan IPT ke tahap lebih tinggi melalui ekosistem mampan, inklusif dan berimpak,” jelasnya.
Sementara itu, Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Profesor Dr. Ahmad Hata Rasit berkata, IDCT 2.0 yang memperkenalkan elemen pendigitalan dan AI mampu meningkatkan keterlihatan produk, memperluas capaian pasaran dan menjadikan teknologi sebagai pemangkin daya saing komuniti.
Pada majlis sama, enam anugerah turut dipertandingkan dengan Anugerah Khas Usahawan Mahasiswa Cemerlang dimenangi UNIMAS; Transformasi Komuniti Terbaik dimenangi Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Pemasaran Digital Inovatif Terbaik oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Selain itu, Anugerah Penjenamaan Produk Komuniti Terbaik oleh Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Malaya (UM) serta Keterlihatan Produk Komuniti Terbaik oleh UNIMAS, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Anugerah Artikel Terbaik dimenangi oleh Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).



