Teknologi pacu masa depan Sarawak

KUCHING: Kerajaan Sarawak komited dalam menguruskan pembangunan negeri ini secara moden bagi mencapai status negeri maju menjelang tahun 2030.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang berkata pelbagai inisiatif sudah direncanakan, yang antaranya mewujudkan bandar pintar.

Justeru, katanya kerajaan negeri mengambil pendekatan menjalin kerjasama dengan Huawei, bagi mengguna pakai teknologi telekomunikasi syarikat antarabangsa itu untuk membangunkan bandar pintar di Sarawak.

“Bandar pintar adalah mempunyai data besar, penumpuan data serta rangkaian internet berkelajuan 5G.

“Dengan ini, kita juga dapat mengatasi jenayah, boleh mengatur pengangkutan awam, gaya hidup penduduk dan sebagainya.

“Ini adalah kunci untuk kami menjadi negeri maju menjelang tahun 2030 dan kami sudah bersedia,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan majlis penutupan Forum Kepimpinan Asia Ke-2 Malaysia di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian dan Menteri Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Negeri Persekutuan dan Pemantauan Projek Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Abang Johari berkata apa yang diperlukan Sarawak bagi merealisasikan visi tersebut adalah untuk melahirkan modal insan yang berkemahiran dan pakar dalam bidang teknologi maklumat.

“Kami memerlukan kepakaran dalam bidang seperti analisis data, keselamatan siber dan pada masa sama melakukan program serta reka bentuk,” katanya.

Justeru, katanya kerajaan negeri telah menyuntik modal untuk menambah nilai kepada sumber-sumber sedia ada yang dimiliki.

Pada masa sama, katanya dengan menaik taraf infrastruktur untuk membangunkan kawasan luar bandar.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata dasar Ekonomi Digital Sarawak juga tidak hanya tertumpu di kawasan bandar, sebaliknya dikembangkan ke kawasan luar bandar.

Justeru, katanya, usaha sedang dilaksanakan untuk menyediakan liputan telekomunikasi hingga ke kawasan pedalaman negeri ini.

“Kita perlu mencari kaedah baharu untuk meningkatkan pendapatan dan kekayaan luar bandar serta kualiti hidup di kawasan itu.

“Ekonomi luar bandar tidak hanya berkaitan pertanian, sebaliknya perindustrian, ekonomi digital serta perkhidmatan juga boleh dikembangkan.

“Bagi mencapai matlamat itu, kita berusaha menyediakan kemudahan telekomunikasi hingga ke komuniti terpencil. Ia cabaran besar kepada kita,” katanya.