KUCHING: Teks ucapan pemimpin negara dan negeri wajar dihimpunkan, dibukukan serta didokumentasikan sebagai khazanah pemikiran serta rujukan generasi akan datang.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, usaha tersebut penting bagi memelihara idea, wawasan dan gagasan yang diketengahkan pemimpin dalam menerajui pembangunan negara dan negeri.
“Saya mencadangkan agar Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menghimpunkan teks ucapan terutamanya dalam kalangan pemimpin negara atau negeri bagi meneliti wawasan atau idea baharu dalam usaha menerajui dan membawa negara atau negeri ke fasa yang lebih baik, maju dan moden,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penutupan Sesi Taklimat Perdana Penerbitan dan Pelancaran Buku Agenda Pemikiran Ketua Pengarah DBP, Hazami Jahari, di sini, hari ini.
Dalam pada itu beliau berkata, tokoh awam dan pemimpin yang sering berucap perlu lebih berhati-hati dalam memilih perkataan kerana ucapan mereka mampu mempengaruhi masyarakat secara langsung atau tidak langsung.
Mengulas lanjut ujarnya, penyediaan teks ucapan yang tersusun dan teliti dapat mengelakkan kesilapan atau kenyataan yang boleh menimbulkan salah faham serta memberi kesan negatif kepada individu mahupun negara.
Di samping itu beliau berkata, platform media sosial kini menjadi medan yang sukar dikawal apabila ramai pengguna mengeluarkan pandangan tanpa meneliti implikasi kata-kata yang digunakan.
Beliau turut menyambut baik usaha kerajaan memperkukuh aspek integriti dalam pelaporan dan penyampaian maklumat bagi memastikan penggunaan bahasa yang lebih bertanggungjawab di ruang awam.
Hadir sama, Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr Hazami Jahari; Ahli Lembaga Pengelola DBP, Datuk Dr Jeniri Amir dan Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Abang Haliman Abang Julai.



