KUCHING: Kerajaan disarankan meneliti jurang dalam undang-undang sedia ada bagi menangani cabaran kecerdasan buatan (AI), sebelum menggubal undang-undang baharu secara menyeluruh.
Menurut Felow Penyelidik Kanan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Dr Jun-E Tan, terdapat hasrat untuk mewujudkan undang-undang dan peraturan baharu, namun pada masa yang sama negara sudah memiliki pelbagai akta sedia ada yang boleh disesuaikan.
Beliau berkata, beberapa undang-undang seperti Akta Keselamatan Dalam Talian dan Akta Perkongsian Data diluluskan dengan cepat tahun lalu kerana keperluan mendesak, memandangkan undang-undang sedia ada tidak mencukupi untuk menangani cabaran teknologi semasa.
“Saya rasa kita tidak semestinya perlu menggubal undang-undang baharu dari A sampai Z.
“Sebaliknya, kita boleh kenal pasti jurang dalam undang-undang sedia ada dan memperbaiki serta meminda bahagian yang diperlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pada sesi pembentangan Hak Digital dan Tadbir Urus AI sempena Persidangan Media Sarawak (SMEC) 2025 di sebuah hotel di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Jun berkata KRI menjalankan peranan advokasi dasar dengan menjalin kerjasama rapat bersama dengan kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan pandangan penyelidik turut diambil kira dalam proses perumusan dasar.
“Sebahagian daripada tugas kami adalah untuk berhubung dengan jabatan kerajaan, menjalankan penyelidikan dan mengetengahkan cadangan dasar kami,” ujarnya.
Tambahnya, KRI juga terbabit dalam kumpulan kerja di bawah Pejabat AI Kebangsaan (NAIO), khususnya berkaitan aspek keselamatan dan piawaian AI, termasuk melalui penyertaan dalam TC17, iaitu kumpulan kerja teknikal mengenai standard AI.
Katanya, KRI turut menyertai pelbagai platform untuk mengikuti perkembangan semasa berkaitan AI serta mendapatkan maklumat langsung daripada pelbagai pihak berkepentingan.
Menyentuh aspek perundangan, beliau berkata Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) kini meneliti pembentukan satu rangka kerja kawal selia bersama dengan Kementerian Digital.
Menurutnya lagi, KRI turut bekerjasama dengan beberapa organisasi masyarakat sivil bagi mengikuti perbincangan dasar secara lebih dekat, memandangkan organisasi tersebut mempunyai jaringan lebih kukuh dengan BHEUU.
“Kami ingin memastikan pandangan kami turut disumbangkan dalam perbincangan perundangan, walaupun bukan semuanya perlu berpaksikan kepada undang-undang,” jelasnya.
Beliau berkata, selain pendekatan berasaskan perundangan, terdapat pelbagai kerangka bukan undang-undang yang boleh dimanfaatkan sebagai sebahagian daripada sistem kawal selia AI di negara ini.



