Pertandingan Teluwaih Jinih sempena Kaul Mukah 2026 terus menjadi antara acara yang paling dinanti-nantikan
setiap kali sambutan pesta kebudayaan tahunan itu berlangsung.
Teluwaih Jinih dalam bahasa Melanau membawa maksud gadis cantik dan pertandingan tersebut sama seperti pertandingan ratu cantik yang lain.
Bukan sekadar menampilkan keanggunan peserta, Pertandingan Teluwaih Jinih turut berperanan sebagai platform untuk memartabatkan warisan budaya masyarakat Melanau, khususnya dalam memperkenalkan adat, bahasa dan identiti kaum itu kepada generasi muda.
Penganjuran pertandingan berkenaan juga dilihat penting bagi memastikan tradisi masyarakat Melanau terus dipelihara dan tidak luput ditelan arus pemodenan, selain menarik perhatian pengunjung dari dalam dan luar Mukah.
Bagi juara Pertandingan Teluwaih Jinih sempena Kaul Mukah 2026, Sharvel Iris Sebastian Umat, 22, penyertaannya dalam pertandingan itu merupakan impian yang telah lama disimpan sejak kecil.
Anak kelahiran Mukah itu berkata, minatnya terhadap Pertandingan Teluwaih Jinih mula berputik apabila dia sering mengikut keluarganya hadir menyaksikan pertandingan tersebut setiap kali sambutan Kaul diadakan.
Menurutnya, pengalaman menonton peserta terdahulu di pentas pertandingan menjadi antara faktor utama yang mendorong dirinya untuk turut mencuba nasib.
“Sejak kecil lagi saya memang selalu mengikut keluarga datang menonton Pertandingan Teluwaih Jinih.
“Ketika itu, saya sudah terfikir untuk menyertai pertandingan ini suatu hari nanti,” katanya kepada Suara Sarawak.
Sharvel turut berkongsi, hasrat itu semakin kuat selepas melihat ramai rakan-rakannya turut mengambil bahagian dalam pertandingan berkenaan pada tahun-tahun sebelumnya.
Katanya, situasi itu secara tidak langsung memberikan keyakinan kepadanya untuk melangkah keluar daripada zon selesa.
Sharvel memberitahu, dia kini sedang menunggu majlis konvokesyen selepas menamatkan pengajian di Politeknik Kota Kinabalu, Sabah.
Dedahnya, tempoh berada di Mukah sementara menunggu konvokesyen dimanfaatkan sepenuhnya untuk memberikan tumpuan kepada persiapan pertandingan.
Menyentuh mengenai persediaan, katanya, perkara itu bukan sesuatu yang mudah kerana memerlukan masa yang panjang dan komitmen yang tinggi.
“Saya membuat persediaan selama setahun. Walaupun tidak terlalu kerap, saya akan memastikan sekurang-kurangnya ada persediaan yang dilakukan sekali dalam sebulan.
“Persediaan ini bukan sahaja melibatkan aspek penampilan diri, malah turut merangkumi penguasaan ilmu berkaitan budaya Melanau,” katanya lagi.
Sehubungan itu, katanya, antara cabaran terbesar yang dihadapinya ialah mempelajari pelbagai adat masyarakat Melanau yang mempunyai banyak perincian.
Dia mengakui penguasaan bahasa Melanau menjadi satu lagi cabaran memandangkan bahasa itu semakin jarang digunakan dalam kehidupan harian generasi muda.
“Bahasa Melanau kini tidak digunakan secara meluas seperti dahulu.
“Jadi, saya perlu mengambil masa untuk memahami dan mempelajarinya dengan lebih mendalam,” ujarnya.
Mengulas mengenai perasaannya menjelang pertandingan, Sharvel tidak menafikan rasa gemuruh sentiasa hadir setiap kali memikirkan tentang persembahan di atas pentas.
Namun, katanya, dia mempunyai cara tersendiri untuk mengawal rasa gementar.
“Saya akan fokus kepada ahli keluarga dan rakan-rakan yang hadir memberikan sokongan.
“Kadang-kadang saya juga cuba fokus kepada juri supaya tidak terlalu memikirkan perasaan gementar,” ujarnya lagi.
Di samping itu, dia turut menzahirkan penghargaan kepada individu yang banyak membantunya sepanjang persiapan pertandingan.
“Penaja semasa pertandingan ialah pengurus saya sendiri, iaitu Ryan Frederick, Aryanto Aling dan Abby Pusun.
“Tanpa bantuan dan galakan mereka, persediaan untuk menghadapi pertandingan ini mungkin lebih mencabar,” jelasnya.
Dalam pada itu, Sharvel memaklumkan, penyertaannya dalam pertandingan berkenaan bukan sekadar untuk mencabar diri sendiri.
Sebaliknya, dia mahu menggunakan platform Teluwaih Jinih untuk mempromosikan budaya Melanau kepada khalayak yang lebih luas.
“Saya mahu mempengaruhi lebih ramai teluwaih-teluwaih (gadis-gadis) Melanau di Mukah supaya berani menyertai pertandingan ini pada masa hadapan,” jelasnya lagi.
Sharvel turut berharap pihak penganjur dapat mengekalkan tatacara pertandingan yang lebih konsisten pada
setiap tahun. Tambahnya, tatacara pertandingan tetap akan memudahkan usaha promosi ke peringkat yang lebih tinggi selain menarik minat lebih ramai penonton dari luar Mukah.
“Jika pertandingan ini mempunyai format yang jelas dan konsisten, saya percaya Teluwaih Jinih mampu berkembang lebih jauh serta menjadi acara budaya yang lebih besar pada masa hadapan,” tambahnya lagi.



