ARTIKEL

Foto FB Zull Bsb

Tempahan pisau korban meningkat tiga kali ganda

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

TUMPAT: Menjelang Aidiladha, Mohammad Zunurain Daud, 37, tidak menang tangan menyiapkan tempahan pisau lapah bagi digunakan ketika ibadah korban.

Mohammad Zunurain yang mesra disapa Zul berkata, kebiasaannya sebulan sebelum perayaan Aidiladha, permintaan terhadap alatan itu meningkat hampir dua hingga tiga kali ganda, sekali gus menjadi lubuk rezeki bermusim baginya untuk menjana pendapatan.

Beliau berkata, sekiranya pada bulan biasa dia hanya mampu meraih tempahan pisau lapah sekitar 20 hingga 30 bilah sahaja, namun permintaan itu akan melonjak sehingga mencecah lebih 150 bilah untuk digunakan dalam ibadah penyembelihan.

“Pisau lapah itu mendapat permintaan dalam kalangan pelanggan di seluruh negeri, termasuk di Singapura dan Thailand apabila menjelang Hari Raya Aidiladha. Malah, setakat ini saya juga terpaksa menolak tempahan yang dibuat oleh pelanggan di saat-saat akhir kerana khuatir tidak dapat memenuhi permintaan tersebut.

“Setiap bilah pisau lapah ini dijual pada harga RM100 hingga RM160, bergantung kepada jenis besi yang digunakan. Selain pisau lapah, saya juga turut menghasilkan pisau sembelih yang mampu mencecah RM300 sebilah,” katanya ketika ditemui Bernama di bengkel miliknya di Kampung Bunut Sarang Burung di sini, baru-baru ini.

Bercerita lanjut, Zul yang telah berkecimpung dalam pembuatan alatan tajam sejak tahun 2014 itu berkata, beliau memperoleh ilham untuk menghasilkan alatan berkenaan selepas sering melihat arwah datuknya, Ahmad Bakar, mengasah pisau untuk kegunaan sendiri.

Hanya berpandukan kepada media sosial iaitu YouTube serta mempelajari ilmu daripada beberapa tukang pisau yang mahir, Zul berkata, beliau kemudian mencuba nasib mempelajari kaedah dan teknik pembuatan itu dengan mengambil masa hampir sebulan sebelum berjaya menghasilkan sebilah pisau.

Lebih menarik, penghasilan alatan tajam yang diusahakannya masih mengekalkan cara tradisional, iaitu menggunakan arang sebagai bahan utama dalam proses menempa senjata berbanding kaedah gas yang memakan kos lebih tinggi.

“Setiap hari saya memerlukan kira-kira 30 kilogram (kg) arang yang diperoleh daripada pembekal tempatan untuk menyiapkan sekitar tiga hingga lima bilah pisau. Sementara itu, sekitar 200 gram besi pula diperlukan untuk menghasilkan sebilah pisau yang memerlukan masa sekitar dua hingga tiga jam untuk disiapkan.

“Dari segi penggunaan besi untuk menghasilkan pisau, saya hanya menggunakan besi terpilih bagi menjamin kualiti. Kebiasaannya besi jenis spring, bearing dan mata ketam sahaja digunakan untuk menghasilkan sebilah pisau,” katanya.

Bercerita mengenai cabaran dan risiko dalam pembuatan, Zul berkata, ia melibatkan proses sepuh iaitu proses mengeraskan bahan alatan mengikut jenis besi untuk mendapatkan ketajaman dan ketahanan yang baik.

Proses berkenaan amat berisiko kerana perlu dilakukan dengan teliti, memandangkan kesilapan dalam percaturan boleh menyebabkan pisau yang dihasilkan pecah dan tidak dapat digunakan lagi.

“Selepas besi dipilih mengikut saiz yang diperlukan, iaitu kebiasaannya berukuran tujuh hingga sembilan inci bagi pisau lapah, manakala 11 hingga 15 inci bagi pisau sembelih, ia akan melalui proses sepuh, iaitu dibakar dengan arang sebelum diketuk menggunakan penukul atau mesin canai untuk membentuk pisau yang dikehendaki.

“Sebaik mendapat bentuk yang dikehendaki, alatan itu akan diasah menggunakan tiga jenis batu asahan, iaitu batu asahan bergred 80, 600 dan 1,200. Setiap gred mempunyai tahap asahan berbeza untuk menghasilkan ketajaman pisau,” kata pemilik Facebook Zull Bsb dan TikTok Zullbsb Knifemaker yang sudah hampir 11 tahun berkecimpung dalam bidang ini. – BERNAMA

BERITA LAIN

RM545 juta perkukuh Internet di Sarawak

KUCHING: Sebanyak RM545 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan fasa pertama Jalinan Digital Negara (JENDELA) 2 di Sarawak, melibatkan hampir 350 lokasi di seluruh negeri. Menteri Komunikasi

BERITA TERBARU

Taman Kenyalang ngеna konsep moden

KUCHING: Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng nerima penuemai basa ari diligit Chung Yuan Christian University (CYCU), Taoyuan, Taiwan, ti bejuraika asil tungkap

Standard teknikal nyamin pemujur servis

CYBERJAYA: Komiti Besai Komunikasyen enggau Multimedia Malaysia (MCMC) negap pemansang standard teknikal nentuka servis begunа baka komunikasyen, bekal kuasa karan enggau ai ulih beoperasyen likun,