Tempoh menunggu rawatan kanser di fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) ambil masa sebulan bergantung kepada tahap kesihatan pesakit, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Bagaimanapun, katanya, sekiranya pesakit itu dikenal pasti berdepan kecemasan rawatan akan dilakukan dengan segera.
Katanya bagi pesakit yang hadir untuk mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan (KK) dan kemudian di diagnos memerlukan rawatan susulan, pakar perubatan akan terus membuat surat rujukan kepada hospital KKM.
Dalam pada itu, Dr Dzulkefly berkata kes kanser di Malaysia juga semakin meningkat iaitu sebanyak 168,822 kes dilaporkan menerusi Registri Kanser Malaysia bagi tempoh lima tahun dari 2017 hingga 2021 dengan kanser payu dara, kolorektal, paru-paru, limfoma dan hati adalah lima kes kanser tertinggi direkodkan.
Mengambil kira angka kes itu, beliau menyeru semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) untuk bersama-sama kerajaan dalam membantu aspek penjagaan kanser serta memberi sokongan kepada pesakit.






