ARTIKEL

Temu janji dalam talian melalui MyPuspakom

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) Cawangan Sarawak memuji langkah proaktif yang diambil Puspakom dengan memperkenalkan aplikasi temu janji dalam talian sebagai usaha melancarkan urusan pemeriksaan kenderaan.

Aplikasi yang dinamakan sebagai MyPuspakom itu diwujudkan sejajar dengan kelaziman baharu yang harus dipraktikkan berterusan dan diguna pakai pada pasca pandemik Covid-19 kini.

Menurut Presidennya Tan Sri Abang Khalid Tan Sri Abang Marzuki, semua ahli di bawah naungan persatuan itu digesa menyesuaikan diri dengan menggunakan aplikasi bagi membuat temu janji sebelum memeriksa kenderaan yang dijual oleh syarikat masing-masing.

“Pengenalan kepada aplikasi MyPuspakom ini sangat baik sekali dan saya percaya ia mampu mengatasi masalah kesesakan kenderaan yang menunggu giliran untuk diperiksa di premis Puspakom.

“Sehubungan itu, saya berharap pemain industri automotif, khususnya ahli-ahli Pekema bekerjasama rapat dengan Puspakom dalam usaha kita melancarkan urusan yang kita jalankan,” katanya semalam.

Beliau tidak menafikan terdapat segelintir pelanggan berdepan masalah menunggu slot giliran pemeriksaan kenderaan kerana berlaku masa menunggu yang agak lama meskipun sudah membuat temu janji dalam talian.

Ini sekali gus katanya, menjadi kebimbangan Pekema jika kehilangan pelanggan akibat tempoh menunggu terlalu lama.

Namun, Pekema Cawangan Sarawak mengambil langkah berjumpa dengan wakil Puspakom bagi membincangkan isu dan cadangan penambahbaikan perkhidmatan yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

“Saya yakin masalah ini pasti akan diambil maklum dan dapat dibendung oleh pihak Puspakom. “Sebab inilah saya amat menitikberatkan dan mementingkan jalinan kerjasama antara persatuan dan agensi berkaitan.

“Saya juga difahamkan dalam perjumpaan khas antara Pekema Sarawak dan Puspakom Kuching baru-baru ini, mereka berjaya mencapai kata sepakat dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan agensi dalam menangani sebarang masalah melibatkan pelanggannya termasuk Pekama,” jelasnya lagi.

Ujarnya, mustahil bagi Pekema untuk berdiri sebagai sebuah entiti yang utuh di negara ini tanpa kerjasama dan hubungan baik dengan pihak agensi swasta mahupun jabatan kerajaan.

“Sebab itu, komunikasi kedua-dua pihak amat penting bagi berbincang untuk mencari solusi kepada masalah yang dihadapi bersama-sama,” katanya.

Beliau turut yakin Pekema akan terus memperjuangkan hak dan nasib ahli-ahlinya agar dapat berganding bahu dengan tonggak pemerintahan negara.

Ini sejajar dengan usaha merealisasikan matlamat membina keunggulan dan keutuhan pengusaha bumiputera serta menyerlahkan kewibawaan anak bangsa dalam dunia keusahawanan automotif.

BERITA LAIN

Peluang pekerjaan lebih adil untuk semua kaum – Wilfred

KUCHING: Kerajaan Sarawak dicadangkan memperkenalkan Kerangka Kepelbagaian dan Keterangkuman bagi memastikan rakyat daripada semua kaum mendapat peluang yang adil dalam perkhidmatan awam, syarikat berkaitan kerajaan

Wilfred cadang laluan PR untuk pakar strategik Sarawak

KUCHING: Laluan taraf pemastautin tetap (PR) khusus bagi tenaga pakar strategik dicadangkan untuk menarik kepakaran antarabangsa dalam industri utama Sarawak, termasuk hidrogen hijau, kecerdasan buatan

BERITA TERBARU

KCFC, KITCHEE TERIKAT 1-1 BABAK PERTAMA

KUCHING: Kuching City FC (KCFC) dan Kitchee SC terikat 1-1 selepas tamat babak pertama aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha