TEKANAN ekonomi akibat konflik di Asia Barat dirasai hampir setiap negara.
Sejak Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan perang terhadap Iran pada 28 Februari lalu, implikasi ekonomi berantai berlaku apabila harga minyak melambung, menyebabkan industri berkaitan minyak terkesan.
Setakat ini, belum ada tanda menunjukkan perang tersebut akan berakhir dalam waktu terdekat.
Sekiranya ia berlarutan, kesan ekonomi berantai akan berlaku menyebabkan kemungkinan untuk peningkatan harga barangan.
Setakat 16 hingga 22 April ini, kerajaan dianggarkan menanggung subsidi sekitar RM7 bilion sebulan berdasarkan harga semasa bahan api.
Jumlah yang sebolehnya digunakan untuk pembangunan negara atau keperluan lain untuk rakyat.
Boleh bina terus Pusat Kanser Sarawak yang bernilai RM1.5 bilion dan Projek Jambatan Batang Lupar 1 bernilai RM848.7 juta.
Memandangkan situasi ini di luar jangka dan tidak dapat dielak, permintaan yang sentiasa ada mendorong kepada peningkatan harga.
Walaupun secara hukum ekonomi, permintaan meningkat membawa kepada peningkatan harga, namun secara hukum juga ia boleh dikawal dengan peningkatan penawaran atau dengan adanya barang pengganti.
Dalam konteks peningkatan penawaran, kita sendiri kurang menghasilkan bahan api untuk kegunaan domestik Nilai komersial minyak dari Sarawak serta beberapa negeri lain seperti Sabah, Terengganu dan Kelantan adalah lebih tinggi apabila dimanfaatkan untuk sektor bernilai tinggi berbanding penggunaan domestik.
Minyak kita lebih sesuai digunakan dalam industri berteknologi tinggi seperti penerbangan dan jentera berskala besar.
Justeru, kita tetap perlu import minyak bagi memenuhi keperluan bahan api negara.
Pilihan kedua adalah dengan mewujudkan barang pengganti. Namun, tidak semua produk boleh digantikan., Era moden kini, wujud penggunaan kenderaan elektrik (EV) sebagai pilihan yang lebih mesra, lestari dan dikatakan berbaloi.
Presiden Indonesia, Prabowo Subianto tular di TikTok apabila beliau mencadangkan untuk penukaran bahan bakar kenderaan di negara tersebut
daripada menggunakan bahan bakar petrol kepada tenaga elektrik.
Idea tersebut dilihat relevan di tengah-tengah tekanan ekonomi disebabkan peningkatan harga bahan api.
Kenderaan EV juga semakin popular dan mendapat tempat dalam pasaran.
Namun, infrastruktur pengecasan masih belum meluas di sesetengah kawasan. Tempoh pengecasan yang lebih lama berbanding mengisi minyak harus diambil perhatian.
Sarawak juga selangkah lebih maju apabila menjadi pelopor dalam pembangunan industri hidrogen dengan tumpuan khas pengeluaran hidrogen hijau sebagai tenaga masa depan.
Kerajaan Sarawak memanfaatkan sumber semula jadi seperti air dan kuasa hidroelektrik untuk menyokong inisiatif hidrogen hijau.
Malah, kira-kira 60 hingga 70 peratus tenaga di Sarawak dijana tenaga hidro.
Baru-baru ini, Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan pemberian bantuan khas bagi membantu rakyat menangani kesan konflik di Timur Tengah.
Bantuan tersebut melibatkan peningkatan kadar pemberian Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) 2026, diskaun khas elektrik untuk pengguna domestik sebanyak 25 peratus dan diskaun 50 peratus ke atas sewaan premis kerajaan untuk peniaga serta penjaja.
Dalam sidang media di Kompleks Satria Pertiwi tersebut, Abang Johari turut menekankan langkah proaktif Kerajaan Sarawak dalam menyejahterakan rakyat melalui pembangunan infrastruktur.
Antaranya, inisiatif Skim Bekalan Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (SARES) bagi memastikan setiap rumah di kawasan pedalaman menikmati bekalan elektrik 24 jam melalui penggunaan teknologi tenaga solar.
Selain itu, kerajaan juga menggantikan perkhidmatan feri dengan pembinaan beberapa jambatan baharu tanpa tol.
Inisiatif ini merupakan langkah proaktif kerajaan mengurangkan kebergantungan penggunaan diesel.
Kesimpulannya, tekanan ekonomi global akibat konflik antarabangsa menuntut negara untuk lebih bersedia dan berdaya tahan dalam mengurus sumber tenaga.
Peralihan kepada tenaga alternatif bukan lagi satu pilihan, sebaliknya keperluan demi menjamin kelestarian ekonomi.



