ARTIKEL

Tenaga Hijau Kunci Sarawak Pikat Pelabur Semikonduktor Global

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Inisiatif tenaga hijau Sarawak menjadi nilai tambah utama dalam menyokong pembangunan industri semikonduktor khususnya bagi menyediakan bekalan tenaga yang efisien dan boleh dipercayai.

Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, negeri itu berada dalam kedudukan baik untuk perkembangan industri semikonduktor berikutan lokasi geografinya yang strategik di rantau ASEAN serta berhampiran dengan China, India dan Australia.

Beliau berkata, Sarawak turut mempunyai kekuatan tersendiri daripada segi bekalan elektrik boleh diperbaharui berasaskan tenaga hijau yang disifatkan sebagai elemen penting dalam menyokong pertumbuhan industri berkenaan.

“Industri semikonduktor, sama seperti industri lain, memerlukan bekalan tenaga yang efisien dan boleh dipercayai. Di Sarawak, kita membekalkan tenaga hijau dan ini akan memberi nilai tambah tinggi kepada produk industri tersebut.

“Ia turut disokong pensijilan hijau seperti dilaksanakan di Samalaju. Sijil hijau atau pensijilan hijau ini diiktiraf di peringkat antarabangsa dan secara tidak langsung memberi nilai tambah kepada produk serta perkhidmatan. Itulah kekuatan kita,” katanya.

Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat bersama Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) di Hotel Hilton Kuching, hari ini.

Beliau berkata, dalam konteks itu Sarawak telah mempunyai dasar dan strategi tersendiri bagi pembangunan industri semikonduktor.

Menurutnya, dasar berkaitan pembangunan bakat turut diberi penekanan selaras pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) tahun ini khususnya dalam aspek pembangunan teknologi.

“Sehubungan itu, tumpuan akan diberikan kepada pembangunan bakat dan kemahiran termasuk melalui SMD Semiconductor yang diterajui Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shariman Jamil dengan penekanan terhadap aspek reka bentuk, harta intelek serta pengukuhan bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) selain kerjasama dengan kerajaan United Kingdom menerusi inisiatif catapult,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu perancangan berkaitan pembangunan industri semikonduktor di Sarawak turut dibincangkan bersama Presiden MSIA, Datuk Seri Wong Siew Hai khususnya mengenai hala tuju industri berkenaan serta aspek yang perlu diperkukuh dan diperbaiki.

“Saya menyatakan kepentingan untuk kita meningkatkan kerjasama antara syarikat yang beroperasi di Malaysia di samping keperluan membangunkan teknologi baharu dan tidak terus terikat kepada teknologi lama.

“Perubahan landskap global menuntut industri semikonduktor terus berinovasi serta meneroka pasaran baharu sekali gus memperkukuh hubungan bukan sahaja di peringkat domestik malah dari perspektif antarabangsa.

“Kita juga melihat potensi untuk mewujudkan kerjasama strategik dengan negara seperti Amerika Syarikat, China, Taiwan dan Singapura yang telah berjaya dalam industri ini,” jelasnya.

Awang Tengah menegaskan, beliau mahu mengenal pasti kelemahan Sarawak serta aspek yang perlu dipertingkatkan bagi membolehkan negeri itu dibangunkan sebagai pusat pembangunan industri semikonduktor.

“Usaha ini bukan bertujuan untuk bersaing sebaliknya melengkapkan ekosistem sedia ada melalui kerjasama dengan Pulau Pinang dan Selangor, sekali gus memastikan Malaysia terus kekal sebagai pusat pembangunan industri semikonduktor,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau turut menyifatkan pertemuan berkenaan sebagai medium bermanfaat bagi membolehkan Sarawak mengenal pasti kelemahan menambah baik keupayaan sedia ada serta memanfaatkan kekuatan yang dimiliki negeri itu.

BERITA LAIN

Perkukuh daya tahan ekonomi

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2027 bertujuan memperkukuh daya tahan ekonomi Malaysia, menyokong perubahan industri dan meningkatkan pembangunan tenaga kerja dalam sektor sarung tangan getah, kata Persatuan

Industri minyak dan gas perluas operasi

KUALA LUMPUR: Industri perkhidmatan serta peralatan minyak dan gas (OGSE) Malaysia di landasan tepat bagi fasa pertumbuhan selanjutnya dan perlu terus memperluas skala operasi, inovasi

BERITA TERBARU