KUCHING: Peralihan awal Sarawak kepada tenaga boleh diperbaharui, khususnya kuasa hidro membolehkan negeri ini mengurangkan kesan turun naik harga tenaga global selain memperkukuh keselamatan tenaga untuk jangka panjang.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata, langkah tersebut mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai hab tenaga hijau yang berdaya tahan di rantau ini, meskipun dunia terus berdepan krisis tenaga dan ketidaktentuan geopolitik.
Menurutnya, sistem tenaga dunia kini tidak lagi boleh bergantung kepada struktur yang rapuh dan berpecah, sebaliknya memerlukan daya tahan yang dibina melalui perancangan strategik serta pelaburan jangka panjang.
“Krisis tenaga global yang berterusan dan situasi geopolitik yang tidak menentu memberi tekanan luar biasa kepada rantaian bekalan dunia.
“Realiti global yang kompleks ini menjadi peringatan bahawa sistem tenaga tidak lagi boleh bergantung kepada struktur yang rapuh. Kita perlu membina daya tahan yang bersifat menyeluruh dan berjangka panjang,” katanya pada Majlis Perasmian Offshore Energy Asia 2026 di Kota Kinabalu, hari ini.
Mengulas lanjut ujarnya, Sarawak memanfaatkan kelebihan sebagai pengeluar tenaga hidro apabila lebih 70 peratus campuran penjanaan elektrik negeri datang daripada sumber bersih, sekali gus membolehkan kadar tarif elektrik purata tanpa subsidi antara yang terendah di Asia Tenggara.
“Kelebihan itu membantu melindungi industri tempatan daripada impak kenaikan harga minyak dan ketidaktentuan pasaran tenaga global,” ujarnya.
Menyentuh pembangunan tenaga masa hadapan, beliau berkata Sarawak sedang memperkukuh kedudukannya sebagai hab pengeluaran hidrogen serantau menerusi projek komersial seperti H2ornbill dan H2biscus.
“Kita mengukuhkan peranannya sebagai Bateri ASEAN melalui eksport tenaga elektrik boleh diperbaharui ke Kalimantan Barat, Sabah, Brunei dan Singapura menerusi rangkaian grid rentas sempadan,” jelasnya.
Katanya lagi, negeri ini turut mempelbagaikan sumber tenaga melalui kajian kebolehlaksanaan projek hidro simpanan berpam dan pembangunan teknologi solar terapung.
“Bagi memperkukuh tadbir urus iklim dan tenaga, kita turut menubuhkan Unit Diplomasi Iklim dan Tenaga Sarawak (SACED) bagi memastikan dasar tenaga dan perubahan iklim terus diselaraskan secara strategik.
“Bermula tahun ini juga, Sarawak melaksanakan levi karbon ke atas sektor minyak, gas dan tenaga dengan hasil kutipan disalurkan ke dalam Dana Perubahan Iklim bagi menyokong pembangunan tenaga boleh diperbaharui, kecekapan tenaga serta projek meningkatkan daya tahan perubahan iklim,” jelasnya.
Katanya lagi, keselamatan tenaga, keselamatan operasi dan keselamatan siber kini menjadi isu kelangsungan negara serta rantau, justeru memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, industri dan rakan serantau.
“Sarawak bukan sekadar menyesuaikan diri dengan landskap global yang sedang berubah, malah sedang membentuk masa depannya.
“Berpandukan Dasar Peralihan Tenaga Sarawak (SET-P) dan Pelan Tindakan Kelestarian negeri, Sarawak akan terus memberi penekanan pembangunan modal insan bagi memastikan tenaga kerja tempatan memiliki kemahiran bertaraf dunia dalam aspek teknikal dan keselamatan,” tambahnya.






