KUCHING: Tentera Darat Malaysia (TDM) menggagalkan cubaan seludup keluar 12,300 kilogram (kg) bawang Holland ke Indonesia dekat sini, malam semalam.
Sel Operasi Media Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat (MK PMTTD) dalam satu kenyataan media memaklumkan, rampasan dibuat oleh pasukan TDM yang sedang menjalankan rondaan di Ladang Kelapa Sawit Empaling Kampung Stass, Bau, sekitar jam 9.30 malam.
“Semasa melakukan rondaan, pasukan menahan sebuah lori jenis Toyota Dyna dan sebuah lori Mitsubishi Canter yang sedang membawa muatan bertutup menuju ke negara Indonesia dengan menggunakan jalan tidak sah,” kenyataan itu menyebut.
Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua kenderaan dipandu oleh warga tempatan berumur 32 dan 53 tahun.
Lori jenis Toyota Dyna, katanya, membawa muatan sebanyak 5,300kg bawang Holland yang dianggarkan bernilai RM26,500.
“Sementara itu, Mitsubishi Canter membawa muatan sebanyak 7,000kg bawang Holland dianggarkan bernilai RM35,000.
“Kesemua hasil rampasan dianggarkan bernilai RM181,500, termasuk dua lori yang kemudian dirampas berserta dua orang warga tempatan yang ditahan dan diserahkan kepada Balai Polis Bau untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu.





